14 September 2011

[MJ12] : Teman Meninggal Dunia Melihat Pontianak

Assalamualaikum KC & pendengar Misteri Jam 12,

Nama saya Wak Nen. Saya ingin berkongsi dengan KC & juga para pendengar kisah tentang sahabat saya bernama Sulaiman yang kembali ke rahmatullah tiga tahun lalu. Sememangnya semua di kalangan orang Islam sedar bahawa ajal dan maut terletak di tangan Allah. Tolong ketengahkan kisah ini. Kisahnya begini:

Saya dan Sulaiman baru sahaja balik daripada chalet di Changi, berdekatan dengan SAF Chalet. Sekitar pukul dua pagi, Sulaiman memberitahu saya bahawa dia sudah mengantuk dan ingin pulang sebab kami berdua bertugas syif pagi. Sulaiman dan saya menetap di Sembawang jadi, tidak ada masalah untuk saya menghantarnya pulang. Dalam perjalanan keluar dari chalet tersebut, Sulaiman menepuk bahu saya dan membisik, "Nen, kau ada bau benda yang tak sepatutnya kita bau pada malam begini?" Saya menjawab, "Kau ni! Janganlah tegur-menegur! Kan dah malam begini!"

Saya pun menunggang motosikal saya di laluan jalan Netheravon Road berdekatan dengan Hospital Lama Changi. Mulut saya kumat-kamit membaca Ayat Kursi untuk melegakan perasaan saya yang takut. Tiba-tiba, Sulaiman menepuk bahu saya lagi dan bertanya, "Kau ada dengar tak Nen?" tanya Sulaiman dengan nada yang takut. Tiba-tiba kedengaran suara perempuan mengilai dari kiri terus ke kanan di atas kami. Kami berdua mendengar bunyi tersebut dan saya terus turunkan pacuan dan terus pecut.

Saya berhenti di simpang Cranwell Road dan Loyang Ave, lampu merah. Sedang kami menunggu lampu isyarat menukar kepada hijau, hati saya sudah berdegap-degup seperti hendak meletup. Sulaiman berkata pada saya, "Nen, kau pecut lepaskan lampu merah tu, takde kereta. Kita cabut dari sinilah. Aku takut ni..." Saya menjawab, "Man, baca apa yang kau tahu. Aku nak teruskan tapi kau tengok tu ada "roadblock" di depan. Kalau mereka nampak macamana?" Saya menjawab dengan nada yang takut.

Saya tidak berani menoleh kepala saya ke belakang untuk lihat kalau-kalau "Fatimah Rockers" mengikut kami. Saya pun menjeling ke cermin di sebelah kiri saya. Alangkah terperanjatnya, "Astaghfirullah!!!" saya mengucap. "Fatimah Rockers" berada di belakang kawan saya! Rambutnya gondrong di hadapan dan kain putih menyeliputi tubuhnya itu. Pandangan itu sungguh menyeramkan.

Apabila lampu isyarat bertukar kepada hijau, Sulaiman tiba-tiba jatuh dari motor. Saya pun berasa hairan. Motor belum lagi bergerak tapi kawan saya dah jatuh. Persaan takut tiba-tiba menjadi lebih takut apabila kawan saya terbaring di tengah jalan. Saya letakkan motor di tepi jalan dan cuba mengejutkan kawan saya. Apabila saya menyentuh lengan Sulaiman, badannya sejuk macam air batu.

Saya melihat sekeliling saya, "Fatimah Rockers" pun dah hilang. Saya menelefon ambulans dan ambulans memberitahu bahawa kawan saya sudah meninggal. Saya menjelaskan kepada paramedik dan juga pegawai polis yang berada di situ. Mereka cuma memberitahu saya bahawa saya perlu ke Balai Polis Bedok untuk membuat keterangan. Semoga roh si arwah dicucuri Allah dan ditempatkan dengan orang-orang yang soleh...

Assalamualaikum. Sekian terima kasih...

Wak Nen

VL : Petikkan dari Cerita Misteri Jam 12@blog resmi Mj12

comments: 0