08 September 2011

Kemalangan di Tanjong Nangka dan Sengkurong.

Pasukan paramedik sedang memberi bantuan kepada penunggang motosikal yang cedera dalam kemalangan di Sengkurong sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Anggota polis dan orang ramai menolak kereta yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Tanjong Nangka, ke tepi jalan supaya tidak mengganggu laluan.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Sept
Dua kemalangan berlaku di Tanjong Nangka dan berdepan Masjid Sharif Ali, Sengkurong hari ini namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Kemalangan di Tanjong Nangka membabitkan kereta pacuan empat roda dan kereta salon namun tiada kecederaan berlaku ke atas kedua-dua pemandu kereta terbabit.

Manakala, di Sengkurong, kemalangan membabitkan sebuah kereta MPV dan motosikal yang terperosok di bawah kereta terbabit. Penunggang motosikal cedera parah dan dikejarkan ke Hospital RIPAS.

Polis mengawal lalu lintas di kedua-dua kawasan dan punca kemalangan masih disiasat.

VL : sumber dari Media Permata...
Read more ...

2 murid maut dilanggar kereta guru

Menteri Pendidikan turut hadir di kediaman Dayang Nurul Fatin Nabilah untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah dan menunaikan solat jenazah.

Menunaikan solat jenazah
Jenazah Dayang Nurul Fatin Nabilah Zamain diusung untuk dikebumikan.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Sept.
Dua orang murid berumur sekitar 6 dan 7 tahun maut apabila dilanggar sebuah kereta yang dipandu oleh salah seorang guru di kawasan letak kereta Sekolah Rendah Mabohai, Bandar Seri Begawan.

Dayang Nurul Fatin Nabilah Zamain, 6 tahun yang sepatutnya menyambut hari jadinya esok dan Dayang Nabilah Farhana Haji Rahim meninggal dunia akibat mengalami cedera parah di kepala dan badan apabila dilanggar sebuah kereta yang sedang mengundur kira-kira pukul 10 pagi waktu rehat.Kedua-dua mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital RIPAS Bandar Seri Begawan.

Menurut saksi, kedua-dua mangsa berada di bahagian belakang kereta berkenaan bersama-sama rakan yang lain apabila kejadian berlaku.Seorang saksi yang tidak mahu namanya disiarkan ketika ditemui berkata, mangsa baru saja menghabiskan waktu rehat mereka seperti biasa. "Tiba-tiba seorang guru yang memandu kereta berkenaan memanggil-manggil meminta bantuan dengan segera. Sebaik sampai di sana baru kami menyedari kejadian berkenaan.

"Melihat daripada keadaan mangsa, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan yang sangat parah mungkin di bahagian kepala dan badan, yang mana kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital RIPAS," katanya.
Beberapa orang guru ketika ditemu bual berkata, "Mungkin guru berkenaan tidak menyedari kehadiran murid-murid berkenaan di belakang, apabila dia membuat pusingan atau mengundur kenderaannya."

Menurut guru kelas mangsa, Cikgu Hamidah Awang Besar, Dayang Nabilah Farhana merupakan seorang pelajar yang sangat rajin dan pendiam. Bukan saja itu, mangsa juga seorang pelajar yang sangat aktif dalam apa jua jenis bidang pelajaran.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa dan Perhubungan Awamnya mengeluarkan satu kenyataan mengesahkan satu kejadian kemalangan telah berlaku di kawasan letak kereta Sekolah Rendah Mabohai hari ini.
Pihak Kementerian Pendidikan amat kesal dan berdukacita atas kemalangan yang meragut nyawa dua orang murid yang terlibat dalam tragedi tersebut.

Menteri Pendidikan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Awang Haji Abu Bakar Haji Apong bersama Pemangku Setiausaha Tetap (Pendidikan teras) dan pegawai-pegawai kanan kementerian telah mengunjungi rumah keluarga-keluarga murid berkenaan menyampaikan rasa dukacita dan takziah yang mendalam atas kemalangan yang menyayat hati itu.

Yang Berhormat Pehin yang nyata begitu pilu dengan kemalangan itu ketika ditemui berkata;
"Kita semua orang bersedih dan tidak menyangka akan kejadian seperti ini berlaku dan sebagai wakil kepada guru terbabit kejadian ini tidak disengajakan.

"Hanya Allah yang mengetahui akan perkara yang sebenar, apa yang kita mampu buat ialah berdoa agar roh Almarhumah Dayang Nurul di tempatkan bersama-sama orang yang beriman."

Dalam pada itu Pasukan Polis Diraja Brunei melalui Jabatan Siasatan Jenayah (CID) telah membuat siasatan terhadap tersangka untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Polis juga meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu agar membantu mereka dalam siasatan mereka.
Orang ramai boleh menghubungi balai-balai polis yang berdekatan.

VL : sumber dari Media Permata... jika ada tersilap kata atau tersilap maklumat harap maaf...
Read more ...