10 Mei 2011

Ustaz Beri Pandangan Isu Musibah Besar Melanda Dunia Tahun 2012


Salam kepada semua muslimin dan muslimat semoga anda berada dibawah naungan iman, saya sentiasa berdoa semoga anda berada dalam keadaan sihat selalu dan dimurahkan rezeki. Saya menerima email dari kawan dan meminta saya kaji dan memberikan pandangan perkara ini di dalam blog saya. Dengan rasa tanggungjawab dan berbekalkan sedikit ilmu, saya cuba memberikan pandangan sekadar mampu saya. Kalau kawan-kawan semua ada pandangan boleh berikan komen di bawah artikel ini. Saya mengharapkan komen anda semua untuk kebaikan umat.

Ini isi email kawan saya :

"Cuba kira... 1 Ramadan pada tahun 2012 jatuh pada 20 july hari jumaat,jadi 3 august 2012 bersamaan 15 ramadan jatuh juga hari jumaat.Sama dengan hadis nabi pasai huru hara besar yang akan jadi pada tengah malam pertengahan bulan ramadan iaitu hari jumaat 15 ramadan dekat bumi ni yang akan mengejutkan semua orang yang sedang tidur, pasal satu suara yang amat dahsyat akan kita dengar dekat langit,bukan kiamat tapi huru hara tersebut akan melenyapkan umat manusia di atas muka bumi ini sebanyak 2/3,yang tinggal cuma 1/3 shj .(yang NASA Amerika dok bagitau pada 21-12-2012 planet X akan lintas dekat bumi ni)Adakah kita semua ni tergolong dalam 1/3 tu..ALLAH sahaja maha mengetahui..cuba kita tengok hadis nabi kat bawah ni dan kenyataan pasal calender islam 2012.

Nu'aim bin Hammad meriwayatkan dengan sanadnya bahwa Rasulullah saw. bersabda:Bila telah muncul suara di bulan Ramadhan, maka akan terjadi huru-hara di bulan Syawwal...". Kami bertanya: "Suara apakah, ya Rasulullah?" Beliau menjawab: "Suara keras di pertengahan bulan Ramadhan, pada malam Jum'at, akan muncul suara keras yang membangunkan orang tidur, menjadikan orang yang berdiri jatuh terduduk, para gadis keluar dari ping ita nnya, pada malam Jum'at di tahun terjadinya banyak gempa.. Jika kalian telah melaksanakan shalat Subuh pada hari Jum'at, masuklah kalian ke dalam rumah kalian, tutuplah pintu-pintunya, sumbatlah lubang-lubangnya, dan selimutilah diri kalian, sumbatlah te lin ga kalian. Jika kalian merasakan adanya suara menggelegar, maka bersujudlah kalian kepada Allah dan ucapkanlah: "Mahasuci Al-Quddus, Mahasuci Al-Quddus, Rabb kami Al-Quddus!", karena barangsiapa melakukan hal itu akan selamat, tetapi barangsiapa yang tidak melakukan hal itu akan binasa".

Komen saya :

Hasil pertanyaan saya kepada sahabat saya Musa Muhammad, beliau mengatakan bahawa hadis ini adalah palsu. Tetapi di sini saya hanya nak menyentuh secara umum sahaja kerana saya takut pandangan yang akan diberikan ini silap. Berdasarkan isu yang menjadi hangat di seluruh dunia, iaitu akan berlaku musibah yang sangat dahsyat pada tahun 2012 nanti. Di sini saya ingin mengatakan bahawa setiap perkara yang telah berlaku dan akan berlaku adalah dari kehendak Allah, sepertimana firman Allah yang bermaksud : "Apabila Allah menghendaki sesuatu, maka jadilah ia" (Surah Yassin : 72).

Jika dilihat dalam ilmu tauhid, sifat harus bagi Allah ialah "kunfayakun" yang bermaksud jika Allah berkehendak maka jadilah perkara itu tanpa ada sekatan dan halangan. Pesanan saya, kita dijadikan di dunia ini adalah hanya semata-mata menghambakan diri kepada Allah. Marilah kita mencari bekalan akhirat dengan sebanyak yang mungkin untuk melayakkan kita masuk ke syurga Allah dan terlepas dari siksaan api neraka Allah. Banyakkan memohon ampun kepada Allah akan segala dosa yang telah dilakukan. Sesiapa yang solat lewat pada waktunya, segeralah mengerjakan solat tepat pada waktunya, sesiapa yang tidak bertudung kembalilah bertudung sepertimana yang telah disyariatkan Allah, Sesiapa yang bertudung pendek dan menampakkan dadanya maka labuhkanlah tudungnya, sesiapa yang derhaka kepada kedua ibu bapanya, segeralah memohon ampun kepada kedua ibu bapanya, Sesiapa yang banyak melakukan dosa, segeralah ia memohon ampun kepada Allah dengan sebenar taubat. Bersedialah sebagai hamba Allah yang sentiasa menanti waktu untuk bertemu Allah dengan keadaan yang bersih sepertimana kain putih yang bersih.

Awas !!! jangan sesekali melaksanakan amalan kepada Allah berdasarkan takut akan berlakunya musibah yang besar pada tahun 2012. Saya takut hal ini menjadi permainan pihak musuh Islam untuk memusnahkan umat Islam dengan cara menggunakan Islam, sepertimana berlaku di Aceh dan negara-negara Islam sebelum ini. Jangan sesekali kita abaikan pekerjaan kita semata-mata beribadah sehingga abaikan tanggungjawab kita membangunkan negara. Ingatlah kerja juga merupakan ibadah jika pekerjaan yang dilakukan kerana Allah.

Sebagai umat Islam, selagimana para ulamak tidak mengeluarkan fatwa mengenai perkara ini atau perkara-perkara lain, janganlah takut dan gentar, takutlah kepada Allah sahaja sesungguhnya siksaan Allah amat dahsyat dari itu. Bersedialah mencari sebanyak yang mungkin pahala dan amalan kebaikan untuk bekalan dihari kelak nanti.

Read more ...

Hukum Berjabat Tangan Dan Menghadiri Kenduri Orang Non Muslim

Assalamualaikum Ustaz!

Kita adalah negara berbilang kaum. Tentunya kita berkawan, berjiran dan bekerja dengan bangsa cina yang kebanyakannya makan khinzir atau memelihara anjing.

1) Perlukah kita menyamak tangan setiap kali berjabat tangan atau menerima sesuatu pemberian dari mereka?

2) Adakah kita mesti mengelak atau memberi alasan setiap kali bila undangan harijadi atau rumah terbuka pada tahun baru Cina di rumah mereka?

Jawapannya

Sebagai seorang Islam yang baik dan menghayati ajaran Islam dengan sempurna akan melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan apa yang telah dilarang oleh Allah. Sebagai seorang muslim dia perlu menjadi tauladan atau contoh yang baik sepertimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah. Dengan contoh tauladan yang baik, ini dapat menarik minat orang-orang bukan Islam untuk lebih mengenali Islam dengan lebih baik lagi. Hadis Nabi Muhammad saw yang bermaksud :

“Sampaikanlah walaupun dengan satu ayat” (Riwayat Al-Bukhari)

Berkawan atau berjiran dan bekerja dengan non muslim atau bangsa lain itu tidak salah dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Malah berkawan dengan orang bukan Islam adalah sebahagian metode dakwah yang paling baik untuk menyampaikan mesej Islam kepada mereka. Kalaulah haram kita berkawan dengan mereka bagaimana kita hendak berdakwah kepada mereka dan bagaimana kita hendak mendekati mereka. Tentu mereka akan merasa bahawa Islam telah menyisihkan mereka dan Islam juga adalah agama yang memusuhi semua agama.

Buktinya dapat kita lihat kewujudan negara Islam yang pertama iaitu Madinah, rakyatnya terdiri dari berbilang kaum dan agama. Malah Islam memberi jaminan keselamatan kepada mereka dengan wujudnya piagam Madinah. Hal ini juga telah dipersetujui oleh mereka dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Rasulullah.

Orang non muslim yang ada di negara kita ini bukan kafir harbi sepertimana yang telah didakwa oleh sesetengah pihak yang kononnya mereka ini adalah kafir harbi disebabkan mereka tegas dengan sesuatu kaum. Sepatutnya kita kena faham dan tahu maksud kafir harbi itu dahulu baru mendakwanya. Kafir harbi ini adalah orang bukan Islam yang menentang hukum Allah dan menzalimi atau memusuhi Islam seperti Yahudi yang merampas dan membunuh umat Islam Palestin, Tentera Amerika atau NATO yang menjajah dan membunuh umat Islam Iraq dan Afghanistan. Firman Allah yang bermaksud :

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang Yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.” (Al-Muntahanah : 8)

Perlukah Sertu Setelah Berjabat Tangan Dengan Mereka

Firman Allah yang membawa maksud :

“Wahai orang-orang Yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haraam sesudah tahun ini; dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah : 28)

Syeikh Dr Yusof Al-Qaradhawi memetik kata Imam Shaukani rh bahawa apa yang dimaksudkan adalah najis tersebut bukanlah najis hissiyah, bahkan ia adalah najis hukum. Ini bermaksud bahawa aqidah orang-orang kafir ini yang najis, dan bukanlah fizikal badan mereka.

Kesimpulan yang dapat kita ambil dari pendapat di atas, orang yang bersalam dengan orang kafir tidak perlu membersihkan tangannya kerana mereka tidak menanggung najis. Memang mereka makan dan pegang najis yang berat iaitu najis muqallazah seperti anjing dan babi. Tetapi yang kita salam itu bukan ain (najis yang dapat dilihat) najis ia cuma tangan manusia biasa.

Untuk memperkukuhkan lagi hujah ini, ada riwayat yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad saw pernah minum dan mengambil wuduk dari bijana orang musyrikin dan baginda juga pernah makan makanan hidangan orang kafir.

Menghadiri Majlis Rumah Terbuka Atau Hari Jadi Orang Kafir.

Menghadiri majlis rumah terbuka atau sebagainya adalah harus selagimana yang tidak melibatkan perayaan atau upacara keagamaan mereka. Sahabat Umar bin Al-Khattab ra berkata :

"Janganlah kalian memasuki tempat ibadah orang kafir pada saat mereka sedang merayakan hari agama mereka, kerana kemarahan Allah akan turun kepada mereka."

Larangan ini bertujuan untuk menghindarkan diri kita dari melakukan apa-apa upacara yang melibatkan keagamaan kerana ia melibatkan akidah atau kepercayaan kita. Takut-takut nanti tertarik pulak dan timbul bisikan dalam hati yang mengatakan bahawa agama kafir ini adalah baik dan mudah dari Islam, ini boleh menyebabkan akidah kita menjadi rosak.

Jamuan yang dihidangkan oleh orang bukan Islam yang tidak melibatkan benda-benda yang syubhah boleh dimakan seperti KFC, air kotak, air botol, masakan orang muslim atau seumpamanya boleh dimakan. Kalau hidangan yang jelas haram seperti arak, babi atau sebagainya tidak boleh dimakan oleh orang muslim. Sepatutnya sebelum menghadiri majlis tersebut, terlebih dahulu kita memberi penerangan kepada kawan bukan Islam kita supaya ia lebih faham tentang halal dan haram yang terdapat dalam Islam.

Penutup

Harus bersalam dengan orang bukan Islam kerana jasad mereka tidak najis, tetapi yang najis adalah akidah mereka. Harus juga bagi orang muslim untuk menghadiri majlis kenduri yang dianjurkan oleh orang bukan Islam selagimana ia tidak melibatkan majlis keagamaan mereka. Jamuan yang disediakan yang tidak melibatkan benda-benda haram atau syubhah harus dimakan. Tidak sepatutnya kita meminggirkan orang bukan Islam, kerana mendekati mereka boleh menarik minat mereka terhadap agama Islam yang sentiasa membawa kedamaian kepada semua bangsa agama.
Read more ...

Pergaulan Adik Beradik, Saudara Susuan & Ibu Susuannya



Soalan yang dikemukakan ialah :

Saya dan tunang saya baru 4 bulan bertunang..berkawan dah hampir 2 tahun..pertama kali saya menghadiri majlis keluarga nya.Saya amat terkejut cara tunang saya bersalam dengan sepupu-sepupu perempuan dia..ada cium pipi lagi.Hati siapa lah tak cemburu..dengan orang lain dia buat macam tu..walaupun itu sepupu dia.hukum tetap haram kan..apa tah lagi dengan saya,memang confirm haram sebab saya belum isteri nya..tapi dengan saya Alhamdulillah..dia menjaga semua tata adab pergaulan dengan saya..Itu yang buat saya muskyil..bila saya tanya..dia kata mereka tu adik beradik sesusuan..saya terima sebab hukum nya tidak haram kan,Ustaz?? tapi ustaz,hati saya tetap tak menerima..sedangkan saya dengan sepupu saya..tak pernah ada berkelakuan begitu..hati saya amat sedih..tapi saya cuba trima andai betul lah mereka2 itu saudara sesusuan tunang saya..tapi tak kan lah semua sepupu-sepupu perempuan dia tu saudara sesusuan..bila saya nak bincangkan hal ni..takut jadi kemarahan dia pulak..takut saya salah cara menyampaikan hal ni.."apa yang patut saya buat ustaz,dalam hal begini..saya nak tegur..takut jadi masalah..cuma bila saya simpan..jadi masalah pulak..takut suatu hal yang berbangkit bila dia jadi suami saya nanti.memang saya akui..cemburu teramat sangat dengan kemesraan itu sedangkan dengan saya..dia takde lah mesra macam tu".

Jawapannya :

Maksud saudara susuan ialah anak angkat yang di ambil oleh sesebuah keluarga untuk memeliharanya dan ibu angkatnya memberikan susu badannya kepada anak tersebut sebanyak lima kali susuan, maka ini dinamakan anak susuan. Syarat untuk menjadi anak susuan ialah seperti berikut :

Ibu yang menyusukan telah baliqh. Maksudnya perempuan yang menyusukan anak angkat tersebut mestilah perempuan yang telah baliqh iaitu keluar haid dari kemaluannya dalam keadaan sihat anggota badannya. Umur perempuan baliqh ialah di antara 9 atau 10 tahun.

Anak yang disusukan itu berusia dua tahun ke bawah. Maksudnya anak angkat yang di susukan itu mestilah berumur 2 tahun kebawah dan tidak boleh anak yang berumur 2 tahun ke atas. Hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Tidaklah susuan itu melainkan dalam lingkungan umur dua tahun.” (Riwayat Darul Qutni)

Susuannya sebanyak lima kali yang berasingan dan setiap kali menyusu mesti sampai kenyang. Maksudnya anak angkat yang disusukan mestilah sebanyak 5 kali susuan secara berasingan dan susuannya tidak boleh kurang dari 5 kali. Setiap kali susuan tersebut mestilah sehingga anak tersebut kenyang. Hadis Nabi yang bermaksud : “Adalah pada ayat yang diturunkan daripada Al-Quran ialah sepuluh kali susu yang maklum lagi mengharamkan kemudian dimansuhkan dengan lima kali susu sahaja.” (Riwayat Muslim)

Susu yang diberi kepada kanak-kanak itu mestilah ditelan sehingga sampai ke perut anak tersebut. Maksudnya susuan yang diberikan kepada anak tersebut dipastikan sampai kedalam perut anak angkat tersebut. jika tidak sampai maka tidak boleh dianggap anak angkat tersebut sebagai anak susuan.


Batas pergaulan anak susuan (anak angkat susuan) dengan saudara susuannya (anak-anak dari darah daging ibu susuan) sama sepertimana adik beradik kandungan atau saudara sama mahramnya. Auratnya antara anak perempuan dengan anak lelaki ialah antara pusat dengan lutut. Tetapi ada pendapat lain yang menyatakan aurat anak perempuan seluruh badannya kecuali kepala, muka dan tangannya sahaja. Pendapat saya berdasarkan keadaan semasa yang banyak berlaku kes-kes sumbang mahram dikalangan adik beradik, bapa dengan anak, atuk dengan cucu dan sebagainya, maka lebih eloklah anak perempuan tersebut tutup keseluruh tubuh badannya kecuali kepala, muka dan tangannya sahaja supaya dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Pendapat saya lagi, adik beradik antara lelaki dan perempuan atau sesama saudara susuan tidak eloklah berpelukkan antara saudara lelaki dan perempuan, kerana dikuatiri akan berlakunya perkara yang tidak diingini iaitu sumbang mahram atau timbulnya perasaan nafsu syahwat. Walaupun dalam Islam tiada batas pergaulan antara mereka, tetapi lebih baik berjaga-jaga sebelum terjadinya perkara yang tidak diingini. Biarlah bersalam atau mencium tangan saudara yang lebih tua sebagai tanda penghormatan antara satu sama lain, tetapi lebih baik elaklah dari berpelukkan atau berciuman antara satu sama lain.

Anak susuan tidak boleh meminang atau mengahwini ibu susuannya dan saudara susuannya. Sepertimana fiman Allah yang bermaksud :

“Diharamkan kepada kamu berkahwin Dengan (perempuan-perempuan Yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu Yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu Yang perempuan, dan ibu-ibu kamu Yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri Yang Dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri Yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri Yang berasal dari benih kamu. dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali Yang telah berlaku pada masa Yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (An-Nisa : 23)

Merujuk kepada ayat di atas yang telah saya boldkan telah menjelaskan dengan jelas sekali bahawa diharamkan anak susuan mengahwini ibu susuannya atau saudara susuannya, kerana anak susuan tersebut telah menjadi sebahagian dari keluarga tersebut dan boleh dikatakan sepertimana anaknya sendiri tetapi binnya tetap berbeza dari saudara susuannya. Hadis Nabi yang bermaksud :

“Wahai Rasulullah, tidakkah tuan berkenan (berkahwin) dengan anak perempuan pamanmu, Hamzah. Dia adalah gadis Quraisy yang paling jelita dan cantik. Baginda menjawab: Apakah engkau tidak tahu bahawa Hamzah itu adalah saudara susuanku? Sedangkan Allah S.W.T telah mengharamkan hubungan berkaitan dengan saudara sesusuan sama seperti hubungan seketurunan (senasab).” (Hadis riwayat Bukhari)
Read more ...

Adakah Suami Menaggung Dosa Isteri & Anak-anaknya


Soalan yang dikemukakan ialah :

Apabila seorang lelaki menjadi suami, dosa-dosa isteri, anak-anak perempuan belum kahwin, dan anak lelaki yang belum baligh.. si suami yang menanggung..betul ke uztaz? Adakah dosa-dosa perempuan sebelum dia berkahwin, suami dia yang tanggung selepas bernikah..? Setiap sentuhan diantara si suami dan si isteri mendapat pahala dan gugur nya dosa-dosa kecil apabila suami dan isteri berpegangan tangan?

Jawapan :

Suami merupakan ketua rumahtangga, dan suami bertanggungjawab untuk memberikan segala nafkah kepada isterinya. Di antara tanggungjawab yang penting ialah memberikan didikan agama kepada isteri dan anak-anaknya supaya tidak berlaku perkara-perkara yang dilarang oleh Islam di dalam rumahtangganya.

Segala dosa yang dilakukan oleh isteri dan anak-anaknya akan ditanggung oleh mereka sendiri dan tidak dipertanggungjawabkan kepada suami atau orang lain. Suami atau ayah hanya menanggung dosa kecuaiannya sahaja kerana tidak mendidik isteri dan anak-anaknya ke jalan yang benar iaitu Islam. Firman Allah yang bermaksud :

“Katakanlah: "(Sesudah Aku mentauhidkan Allah dan berserah diri kepadaNya) Patutkah Aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia lah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? dan tiadalah (kejahatan) Yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja Yang menanggung dosanya; dan seseorang Yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu ia menerangkan kepada kamu akan apa Yang kamu berselisihan padanya.” (Al-An’am : 164)

Suami yang memberikan didikan agama dan teguran kepada isteri dan anak-anaknya supaya jangan melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah dan mematuhi segala peraturan Islam, tetapi isteri dan anak-anaknya tetap melakukan perkara dosa juga, maka di sini suami tersebut terlepas dari dosa kecuaiannya, kerana suami tersebut telah menunaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.

Jangan jadi suami yang dayus, kerana suami dayus adalah suami yang menghalalkan atau tidak berani menegur isterinya melakukan dosa. Suami dayus tidak layak masuk syurga, kerana beliau tidak mencegah isteri dan anak-anaknya melakukan kemungkaran, segala amalan suami tersebut ditolak oleh Allah dan dihumbankan ke dalam neraka Allah disebabkan ia adalah suami yang tidak menunaikan amanah dan tanggungjawabnya. Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman jauhkanlah dirimu dan ahli keluargamu dari azab api neraka”.

Anak-anak yang belum baliqh, tidak ditetapkan lagi dosa dan pahalanya, kerana mereka tidak dikira orang yang mukallaf lagi, segala kejahatan dan dosa ditanggung oleh ayahnya sendiri, kerana ayahnya merupakan ketua keluarga yang bertanggungjawab untuk memberikan pendidikan agama kepada anak-anaknya. Apabila anak tersebut telah baliqh, maka segala dosa akan ditanggung oleh mereka sendiri, kerana segala peraturan syariat telah ditetapkan atas diri mereka di sebabkan telah baliqh.

Benar bagi suami isteri yang berpegangan tangan atau bersalaman antara satu sama lain, maka dosa kecil mereka akan keluar melalui celah-celah jari mereka. Islam mengajar umatnya yang telah berkahwin saling bersalaman dan berpegangan tangan kerana segala dosa-dosa kecil suami isteri hilang disebabkan perbuatan tersebut.
Read more ...

Hukum Meletakkan Gambar Bernyawa Di Rumah

Soalan yang diajukan:

Apa hukumnya kita menggantung gambar bernyawa didalam rumah. Contoh gambar kita menerima sijil?

Jawapannya:

Menggantungkan gambar yang bernyawa di dalam rumah ialah seperti gambar binatang, gambar orang atau gambar keluarga tuan rumah. Setelah saya meneliti masalah ini bahawa memang haram dan Nabi melarang umatnya meletakkan gambar bernyawa di dalam rumah, kerana malaikat rahmat tidak masuk di dalam rumah untuk memberikan rahmat. Hadis Nabi yang bermaksud:

Dari 'Aisyah r.a katanya, dia membeli bantal-bantal kecil bergambar-gambar. Maka tatkala Rasulullah SAW melihat bantal-bantal tersebut baginda berhenti di muka pintu dan tidak terus masuk. Aku tahu dari wajah baginda bahawa baginda tidak senang. Berkata 'Aisyah: "Ya Rasulullah! Aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya. Apakah kesalahanku? Rasulullah SAW kembali bertanya: "Bantal-bantal apakah itu?" Jawab 'Aisyah, "Aku membelinya sebagai tempat duduk anda atau tempat anda bersandar." Sabda Rasulullah SAW: "Pelukis gambar-gambar ini akan diseksa di hari kiamat seraya dikatakan kepada mereka: "Hidupkanlah gambar-gambar yang kamu lukis itu!" Kemudian baginda bersabda: "Sebuah rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (haiwan), malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah itu." (Riwayat Muslim)

Berkata Imam Manawi: Yang dimaksudkan dengan gambar pada hadis ini ialah suatu yg mempunyai ruh sekalipun tidak mempunyai bayang dan tidaklah termasuk dengan gambar yg tidak mempunyai ruh seperti pohon-pohon kayu. Dan yang dimaksudkan dengan malaikat pada hadis ini ialah malaikat yg membawa rahmat kepada penghuni-penghuni rumah. Adapun malaikat pencatit amal tiadalah berpisah ia dari seseorang anak Adam.

Haram bagi orang yang meletakkan gambar atau patung yang bernyawa di rumah-rumah mereka, sama ada separuh gambar atau sempurna gambar tersebut. Tiada mengapa dan diharuskan meletakkan gambar yang berbentuk pohon, kapal, rumah, ayat Al-Quran, Kata-kata hikmah, kereta, motorsikal dan sebagainya.

Hal di atas beza dengan gambar-gambar fotografik yang dihasilkan oleh kamera dan video. Harus bagi sesiapa yang ingin meletakkan atau menggantungkan gambar fotografik di rumahnya. Jika gambar fotografik tersebut mengandungi unsur-unsur pemujaan, mendedahkan aurat, mengagungkan gambar tersebut dan seumpamannya, maka hukumnya adalah haram dan bersesuaian dengan pendapat Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam buku Seni Dalam Islam:

"Hukum gambar-gambar fotografik pada asalnya harus selagimana gambar tersebut tidak mengandungi unsur-unsur yang diharamkan seperti mengagungkan gambar seseorang yang mempunyai kemuliaan dalam agama ataupun disebabkan kedudukan dan pangkat yang dimilikinya, apatah lagi sekiranya orang yang diagung-agungkan terdiri daripada orang kafir, fasiq, penyembah berhala, komunis ataupun tokoh-tokoh seni yang menyeleweng."

Pandangan saya, gambar manusia atau makhluk bernyawa yang dihasilkan oleh seni lukisan, adalah haram sepertimana yang terdapat di dalam hadis di atas. Di haruskan gambar dari hasil seni lukisan bukan gambar manusia dan makhluk bernyawa seperti gambar pemandangan, masjid, rumah, kereta dan seumpamanya. Harus juga bagi gambar yang dihasilkan oleh kamera atau video untuk digantung atau diletakkan di rumah bukan bertujuan penyembahan, mengagungkan, gambar yang tidak mendedahkan aurat, gambar orang kafir dan seumpamanya. Gambar kamera yang dibolehkan adalah bertujuan sebagai kenangan, tanda kekeluargaan dan seumpamanya.

Petikan dari Blog Ustaz Nor Amin

VeeNa LoneLiness : Insya-Allah, sama-sama kita ambil manfaat dari jawapan Ustaz Nor Amin. Yang dibenarkan oleh syarak, kita buat, yang diharamkan kita pakat-pakat tinggal ye... :)
Read more ...

Tak Satupun Yang Dapat Menggantikan Rintihan Seorang Ibu Saat Melahirkan

Imam Muhammad al-Baqir menuturkan :

Seseorang datang menemui Rasulullah Saw dan berkata, ” Wahai Rasulullah, ayah saya kini telah tiada, sedangkan ibu saya sudah sangat tua . Kalau makan, saya hancurkan dulu makanan tersebut kemudian saya letakkan makanan itu ke dalam mulutnya ; tak ubahnya anak kecil. Saya juga meletakkan beliau dalam ayunan kain seperti bayi dan setelah itu saya mengayunkannnya sampai tertidur. Kerana faktor usia yang sudah sangat lanjut itu, terkadang beliau meminta sesuatu kepada saya yang saya sendiri tak mengerti apa yang dikehendakinya. Kerana itu, saya mohon kepada Allah agar memberi saya seorang wanita yang bekerja menyusui agar saya dapat menyusui ibu saya, sebagaimana ibu saya pernah menyusui saya. Ketika itu, dia (wanita itu) membuka dadanya, sehingga tampaklah kedua payudaranya, kemudian sedikit tekanan, keluarlah air susunya.

Melihat kejadian itu, Rasulullah Saw meneteskan airmata seraya bersabda, “ Wahai anak muda, engkau telah mendapatkan keberhasilan yang sangat layak, kerana engkau memohon kepada Allah dengan hati yang bersih dan niat yang tulus, dan Allah telah mengabulkan doamu. “

Anak muda itu bertanya, ” Wahai Rasulullah, apakah saya sudah dapat menggantikan jerih payah serta hak-hak ibu saya?

Rasulullah Saw bersabda, ” Engkau takkan pernah boleh menggantikannya (semua jerih payah dan hak-haknya), bahkan satu rintihan di antara rintihan-rintihannya pada ketika melahirkan pun tak dapat kau gantikan.

Dipetik dari Buku ” Kisah-Kisah Ayah Ibu ” karya : Ahmad Mir Khalaf Zadeh & Qasim Mir Khalaf Zadeh
Read more ...

~ VeeNa Loneliness ~: Berbakti Kepada Orang Tua Lebih Baik Daripada Satu...

~ VeeNa Loneliness ~: Berbakti Kepada Orang Tua Lebih Baik Daripada Satu...: "Seseorang datang menemui Rasulullah Saw berkata, ” Wahai Rasulullah ! Saya sangat rindu pada jihad dan peperangan serta melakukan perbuatan..."
Read more ...

Berbakti Kepada Orang Tua Lebih Baik Daripada Satu Tahun Berjihad..


Seseorang datang menemui Rasulullah Saw berkata, ” Wahai Rasulullah ! Saya sangat rindu pada jihad dan peperangan serta melakukan perbuatan-perbuatan sangat sulit berkaitan dengan itu.

Rasulullah Saw bersabda, ” Berjihadlah di jalan Allah, kerana apabila engkau mati terbunuh, nescaya Allah akan menghidupkanmu dan memberimu rezeki. Dan apabila engkau meninggal dunia ( bukan karena terbunuh dalam jihad di jalan Allah) , maka pahalamu ada di sisi Allah. Dan apabila kamu kembali dalam keadaan selamat, maka semua dosa-dosamu telah diampuni Allah, sama seperti engkau baru dilahirkan oleh ibumu.

Orang itu berkata, ” Wahai Rasulullah ! Saya memiliki ayah dan ibu yang sangat mencintai saya dan mereka tidak senang jika saya tinggalkan.

Rasulullah Saw bersabda, ” Kalau begitu, tetaplah engkau berada di sisi ayah dan ibumu. Demi Allah, kesenangan mereka terhadapmu dan kebahagiaan mereka akan keberadaanmu dalam sehari-semalam lebih baik daripada satu tahun berjihad.

Dipetik dari Buku ” Kisah Ayah Ibu ” karya Ahmad Mir Khalaf Zadeh @ Qasim Mir Khalaf Zadeh
Read more ...