10 Jun 2011

6 Panduan Apabila Menghadapi Pertengkaran

Salam.
Bertengkar? Hmm saya pernah bertengkar, tapi lamaaa dah ... saya dah insaf dah ... hehehe... bagi saya bertengkar ni satu perbuatan yang akan menghitamkan hati. Peribadi kita juga akan tercalar akibat satu pertengkaran - VL

Waktu hati kita tengah panas adalah waktu di mana kita menjadi vulnerable untuk syaitan dan iblis membisikkan perkara-perkara tak elok pada hati kita. Hati kita yang dikecamuk dek emosi melampau. Tatkala itu, kita sering melupakan yang betul .. dan kalau ada yang betul pun, kita mengungkapkan dengan cara yang salah sama sekali.
Di sini saya kongsikan sedikit petua - seandainya berlaku pertengkaran antara anda dan pihak lain, sila pastikan perkara ini ..

Enam Panduan Apabila Menghadapi Pertengkaran

Hindari Perlakuan Fizikal atau Kekerasan

Hindarilah pertengkaran yang sudah melibatkan tindakan fizikal (kekerasan). Apatah lagi jika pertengkaran antara suami isteri - uhh jangan sesekali lakukan kekerasan, kerana kekerasan itu menandakan anda lemah mengawal emosi anda dan bukannya anda kuat kerana menggunakan fizikal.

Luahkan Rasa Kekecewaan
Apabila bertengkar, luahkan perasaan anda secara terbuka. Sama ada anda sedih, kecewa, marah, putus asa dan merasa diabaikan, ungkaplah perasaan tersebut dengan kata-kata dan jangan dipendam. Jika dipendam, maka pihak satu lagi tidak tahu apakah permasalahan sebenar yang sedang ditengkarkan. Jangan biarkan ia menjadi nanah dalam sesebuah perhubungan.

Hindari Dari Mengeluarkan Kata-Kata Kesat Dan Mengaibkan
Jangan sesekali merendah-rendahkan pihak yang sedang bertengkar dengan menggunakan perkataan yang menjatuhkan maruah. Ia bukan sahaja akan menyemarakkan pertengkaran, malah akan menjadikan satu pertengkaran itu berakhir dengan satu yang tiada penyelesaian.

Jangan Kritik Peribadi Seseorang
Mahu kritik adalah tindakannya, bukan peribadi. Peribadi mungkin tidak secantik perilaku, tetapi kerana kelakuan berlakunya sesuatu masalah, dan bukannya kerana peribadinya. Jadi, berhati-hati jangan sampai menkritik keperibadian, kerana ini juga boleh mengaibkan. Buat teguran dan hujahlah kerana tindakan yang diambil.

Elakkan Dari Menyampuk
Dengar apa yang ingin diperkatakan, supaya anda tahu fakta dan keadaan sebenar mengapa pertengkaran itu berlaku pada mulanya. Jadi pendengar yang baik, dengari apa yang dihujahkan sebelum anda membuat kesimpulan dan meneruskan hujah anda dalam pertengkaran anda itu. Jika anda tidak mendengar, anda mungkin tersalah sangka dan tersilap faham.

Jangan Meleret
Jangan jadikan sebab atas penyebab yang lain. Contohnya, anda marah tiba-tiba bila si dia membuat air kopi sedangkan yang anda marahkan ialah sikapnya dalam perkara lain. Jangan menjadikan satu perkara kecil untuk menjadi penyebab pertengkaran anda yang sebenarnya tiada kaitan langsung. Cuba debatkan hal yang berkaitan sahaja.
Read more ...

Gambar Entiti Aneh Dirakamkan (Kes Paranormal)

Menurut bekas polis, Mohd Fauzi Bidin, 60 tahun, banglo tersergam di Bukit Darah, Sungai Buloh, Selangor dianggarkan berusia lebih 60 tahun.


Jam 1 pagi, Fauzi bersama saya, Rahmat Mokhtar, Razali Harun, Adnan Abdullah dan Azhar Ramli memasuki pekarangan banglo pernah dihuni keluarga warga Britain dan Sri Langka terbabit. 


Sebelum ini Azhar berkongsi kejadian aneh dialaminya, Sewaktu menghampiri pintu utama banglo, hati mula berdebar. Suhu di sekitar agak panas, IR Thermometer menunjukkan bacaan 80 Fahrenheit. 


Kami membuat keputusan bergerak ke belakang banglo untuk memasang kamera web. Saya perhatikan, halaman banglo dijadikan tapak semaian pelbagai jenis anak pokok.


Dalam kegelapan malam, Rahmat berjalan mendahului kami tiba-tiba berlari meluru ke tapak semaian dan merakamkan gambar menggunakan kamera digitalnya.


Lihat gambar pokok rendang menghijau, saya rakamkan di belakang banglo sama. Barangkali pohon itu juga seusia banglo. Banglo dikatakan pernah menjadi saksi kejadian wanita berbangsa Inggeris dilaporkan mengantung diri.


Biarpun berasa seram tetapi tiada ahli kumpulan bersuara. Saya dan Rahmat kemudian pantas memasang 2 kamera web menggunakan komputer riba kami bawa. Lensa kamera kami halakan ke arah pokok terbabit.


 "Kalau ada benda lalu, InsyaAllah web cam dapat capture," bisik Rahmat. 

Menurut Fauzi, dia pernah beberapa kali bertembung kelibat lembaga hitam di banglo itu. Namun melihat reaksinya, saya tahu bapa kepada 9 anak dan datuk kepada 17 cucu itu, lelaki berani. 


Biarpun berusia puluhan tahun, tiang utama banglo masih kelihatan teguh.  Jika tiang terbabit mampu bercakap, pasti banyak kisah suka, duka dan mengerikan mampu dikongsikan bersama kami.


Jam 1.05 pagi, kami memasuki banglo melalui pintu utama dan kemudian menaiki tangga ke tingkat atas.  Gambar saya rakam di bawah menceritakan rentetan tinjauan kami lakukan. 


"Ini lorong ke bilik tempat perempuan tu menggantung diri," kata Azhar.


Hati saya tidak berdebar cuma perasaan cuak mengusik jiwa kerana tidak mampu menduga apa bakal dilihat dan ditemui di bilik terbabit. Mujur, sejak awal pertemuan saya membuat perjanjian dengan Adnan.

"Bang, saya penakut. Janji dengan saya, apa terjadi, abang akan tetap berjalan di belakang saya," pinta saya.


Saya bernasib baik, Adnan, 50 tahun, bersetuju memenuhi permintaan itu. Dia kenalan saya sejak  menyertai operasi membanteras pendatang tanpa izin bersama pasukan RELA di Damansara suatu ketika dahulu.

Kami kemudian memasuki bilik bertentangan bilik pernah dihuni wanita Inggeris terbabit. Masih terdapat beberapa perabot di dalamnya.  

"Sebelum awak ternampak kelibat perempuan tu di tingkap bilik depan, awak kata rumah ini terang-benderang macam berlampu, kan?," soal saya kepada Azhar.

"Ya, sekarang baru kita semua nampak, sebenarnya bekalan elektrik memang tak ada, plug semua dah tanggal," balasnya.


Sewaktu meninjau bahagian belakang rumah dari tingkat satu, saya rakamkan gambar kolam renang terletak kurang 50 meter dari banglo terbabit.


"Mungkin di situlah perempuan tu mandi suatu ketika dahulu," kata Azhar. 

Hampir jam 1.30 pagi, Rahmat membuat keputusan memindahkan kamera web ke bilik didakwa terjadinya kes membunuh diri itu.


Kamera Rahmat diletakkan di lorong manakala kamera saya ditempatkan di dalam bilik berhampiran pintu.


"Di tingkap inilah saya ternampak perempuan memakai baju putih, berambut panjang dengan beg tergantung di belakang tu," kata Azhar. 


Kami kemudian segera beredar keluar setelah memastikan 2 kamera terbabit beroperasi.


Kurang setengah jam berada di luar pagar banglo, tiba-tiba Rahmat bersuara.

"Bang, ada kawan di Facebook komen ternampak gambar entiti di dalam gambar saya posted tadi," katanya.

Berikut gambar dirakam menggunakan telefon bimbit berjenama Black Berry Torch milik pengkaji paranormal itu.


Untuk tujuan perbandingan, berikut lokasi sama gambar terbabit dirakamkan.


Jam 2.40 pagi kami kembali semula ke bilik kamera diletakkan. Hasilnya? Kamera saya gagal merakamkan sebarang visual. Malah lebih menghairankan, fail rakaman juga didapati tidak wujud. Kamera milik Rahmat? Hasil rakaman, jika ada, belum lagi diprebiu setakat tampalan ini selesai ditulis.


Berikut pesanan ringkas dihantar Rahmat kepada saya, pada jam 4.18 pagi tadi ...

'Video saya juga hilang'

Apapun, terima kasih kepada semua kerana sudi menempuh satu lagi pengalaman baru.


VL : Nurkilan dari saudara Mazidul Akmal Sidik
Read more ...

Dia Pendek Mata Merah (Kejadian Lemas Di Ulu Bendul)

"Dia pendek, mata merah. Dua dia tak sempat, satu dia tarik ke bawah pokok besar, tertimbus empat kaki dalam"

Itu antara dakwaan dilontarkan lelaki berjanggut dan berseluar celoreng berdiri di sebelah saya sewaktu anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, JPAM Negeri Sembilan giat mencari mayat Nur Syaza Sakinah Syed Ahmad, 2 tahun, jam 4.10 petang semalam.


Saya perhatikan kegigihan anggota JPAM berusia di antara 22 dan 31 tahun terbabit, memotong akar kayu dan cuba menggali pasir di bawah pohon besar di tebing sungai.

Hampir jam 5 petang, tiada mayat ditemui di kawasan sasaran.

"Bang, boleh ambil gambar?," pinta mereka.

Malangnya setiap kali gambar cuba dirakam menggunakan kamera telefon bimbit, saya mendengar keluhan sama.

"Alamak! Gambar tak clear, goyanglah"

Hakikatnya mereka semua kesejukan, setelah berada di dalam air dalam tempoh lama lalu tangan menggeletar ketika merakamkan gambar. Akhirnya gambar berikut diabadikan penerbit 999, Shahnun Hanif Suhaimi menggunakan kamera digital, Canon G12 saya.



Saya tidak mengenali mereka secara peribadi tetapi menyanjung semangat jitu tersemat di jiwa anggota JPAM terbabit. Tujuh hari mereka menjalankan usaha mencari dan menyelamat 3 kanak-kanak perempuan mati lemas akibat fenomena luar biasa. 

Jam 5.05 petang, 3 Mei lalu sewaktu berkelah bersama ayah, Syed Ahmad Ibrahim, 28 tahun, 3 anaknya, Nur Syaza Alisa, 5, Nur Syaza Azira, 4 dan Nur Syaza Sakinah, 2 tahun dilapor dihanyutkan 'kepala air'.


( Nur Syaza Alisa (kanan), Nor Shaza Azira (kiri) dan Nur Syaza Sakinah (tengah) tidur bersama sebelum kejadian)

Saya berasal dari kampung dan tinggal berhampiran sungai sekian lama. Barangkali ramai pembaca keliru berhubung takrifan 'kepala air' biarpun berulang kali membaca phrasa itu di akhbar sejak awal bulan ini.

Sungai berair jernih dan cetek menjadi lokasi orang ramai berkelah dan bermandi-manda tanpa menyedari hujan lebat turun di bahagian hulu. Air hujan terkumpul kemudian menghakis tebing sungai sekaligus mengaut bersama antaranya kayu balak, batu, lumpur dan kelodak, mengalir deras ke hilir. Gabungan air hujan dan sungai dengan paras ketinggian berlipat ganda berbanding aras kedalaman air sungai sebelumnya kemudian menghayutkan mangsa. 'Kepala air', air deras terawal tiba di lokasi kejadian. 

Analoginya, jika sebelum kejadian, ketinggian air sungai hanya di paras lutut, ketinggian kepala air terbabit naik mendadak, melepasi aras kepala manusia.  

Lihat gambar Sungai Batang Terachi, Hutan Lipur Ulu Bendul, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, saya rakamkan semalam, kembali cetek dan mengalir tenang. 


Difahamkan, sewaktu kejadian, ketinggian air sungai terbabit melebihi aras kepala pengacara 999, Hazlin Hussain berdiri di atas batu.


Tiga mangsa dilaporkan mandi di kawasan sama sewaktu tragedi melanda. Mereka anak kecil, mustahil mereka berupaya menyelamatkan diri daripada dirempuh kepala air mampu mengapungkan dan menghanyutkan kayu balak bersaiz lebih sebesar pemeluk manusia dewasa.

Saya melihat air mata berjujuran di pipi ibu mangsa, Wan Azleela Wan Abdullah, 33 tahun sewaktu majlis membaca doa selamat berlangsung pada jam 1.30 tengahari semalam.


Syed dilaporkan berpisah dengan ibu mangsa, kelihatan sugul di sepanjang majlis berlangsung. 


Akbar sebelum ini melaporkan, Syed berkunjung ke kawasan perkelahan popular terbabit bersama anak dan teman wanitanya, Alwani Abu Hassan, 19 tahun. Mereka juga turut dihanyutkan air deras namun berjaya menyelamatkan diri sebelum dirawat di hospital.

Dalam majlis sama, bapa saudara mangsa, Wan Adnan Wan Abdullah, 38 tahun, kelihatan sebak, tidak berupaya mengawal emosinya.


Majlis sekaligus menemukan kedua belah keluarga mangsa, secara aman terbabit antaranya dihadiri Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba (gambar pertama di bawah, kanan sekali) dan pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Roslan Ariffin.

Mereka antara pegawai kerajaan banyak membantu mengkoordinasikan operasi mencari mayat mangsa.


 Roslan Ariffin

"Lebih 150 orang terbabit mencari mangsa. Setakat ini tidak ada lagi perancangan untuk memberhentikan operasi," ujar Jaafar.

Tambah beliau, operasi mencari mangsa dibantu Pasukan Bomba dan Penyelamat, JPAM, RELA, SMART, polis, tentera, kakitangan Jabatan Perhutanan serta penduduk kampung.

Untuk rekod, mayat Nur Syaza Alisa ditemui pada jam 3.15 pagi manakala  mayat adiknya, Nur Syaza Azira pula dijumpai pasukan mencari dan menyelamat pada 10.20 pagi pada jarak di antara 300 dan 500 meter dari lokasi kejadian. 



Sewaktu ditemubual kru 999, ibu mangsa turut berkongsi cerita bersama Hazlin.

"Masa turun bersama mencari mangsa, emak dia terjumpa kain telekung di tepi sungai, dia angkat, kemudian letak di tebing. Seorang daripada anak dia, dijumpai di tempat sama. emak mangsa kemudian cakap, dia berasa pelik sangat apabila ada ahli keluarga terjumpa semula telekung sama di tempat asal," ujar Hazlin.

Saya dimaklumkan, usaha mencari mangsa turut dibantu ramai pengamal perubatan Islam namun sehingga jam 11 malam tadi, mangsa terakhir masih belum ditemui. 

Pelbagai cerita saya dengar selama kira-kira 6 jam berada di sekitar lokasi kejadian. Barangkali penduduk Kuala Pilah lebih arif berhubung dakwaan kawasan terbabit 'keras'.


 Saya doakan agar mayat mangsa ditemui dalam tempoh terdekat. Ya Allah,  izinkanlah jenazah anak kecil bernama Sakinah dikebumikan secara sempurna, Al-Fatihah.

Read more ...