10 September 2011

Kepala Atas Kubur.

Masa kecik-kecik dulu aku selalu ikut abah aku pergi usrah. Kadang-kadang pergi dekat, kadang-kadang jauh. Sebagai anak yang baik, chewahh, aku ikut la... dan memang aku sendiri pun suka bonceng motor abah aku malam-malam. Sejuk berangin je... best. Tau tak usrah tu apa? Bagi sesiapa yang tak tau, usrah tu macam perjumpaan la. Dalam perjumpaan tu, macam-macam perkara diperbincangkan, terutamanya berbentuk ilmiah. Perjumpaan begini sebenarnya menggalakkan pengeratan silaturrahmi sesama kita selain satu cara menyampaikan ilmu. Itu maksud usrah tu. Usrah tu sendiri adalah satu perkataan arab yang memberi makna keluarga.

Satu hari tu, macam biasa, aku ikut abah. Kami tak naik motor. Kerana mak aku ikut sekali, kami berkereta malam tu. Sebenarnya, sebelum tu kami pergi Melaka. Saja la jalan-jalan sambil shopping lebih kurang... Dalam perjalanan kami balik tu, singgah la kat tempat biasa sebab abah aku memang ada usrah malam tu. Kebetulan pulak, ada banyak kereta yang dah parking tepi jalan dekat surau tu. Ada satu ruang kosong kat tepi jalan, sebelah dengan kawasan kubur. Abah aku letak kereta kat situ. Aku dan mak tak keluar, sebab cuma ada setengah jam je lagi majlis tu nak bersurai. Kami sampai lewat sebenarnya...

Mak aku suruh kunci semua pintu kereta. Aku, sebagai anak yang menurut perintah, (huh!), buat la sebagaimana mak aku suruh. Dah lepas tu, aku pandang ke luar tingkap sebelah kiri. Ada banyak kubur kat situ. Ustaz aku ajar, kalu kita berada di kawasan kubur, ucapkanlah salam untuk ahli-ahli kubur tu. Kerana aku anak yang taat, maka aku pun buat la... "Assalamualaikum ya ahlal-qubr".

Aku ngan mak kat dalam kereta masing-masing buat hal sendiri. Mak diam aje kat depan. Aku kat belakang pun tak buat apa, cuma mata je melilau ke seluruh kawasan kubur tu. Hmmm... banyak pokok pisang kat situ. Ada buah ke?

Dengan tak semena-mena mata aku terpaku ke satu kubur berhampiran. Kubur tu terletak lebih kurang 3 meter je dari aku. Aku jadi tak sedap. Apa tu haa...? "Makk...!." Mak aku tak menyahut. Aku, nak kata takut tu tak jugak sebab aku tak nampak sepenuhnya benda tu, cuma samar-samar je. Tapi, dalam samar-samar tu pun, aku masih dapat mengecam. Aku nampak semacam kepala orang sedang memandang tepat ke arahku! Letaknya di atas kubur, sebelah batu nesan.

"Makk..." Aku panggil mak, tapi mak diam jugak. Aku dah mula rasa nak nangis, tapi tak terkeluar. Apa yang aku buat, cuma pandang aje kat kepala tu. Sekarang memang aku yakin dengan apa yang aku nampak. Kepala tu pulak seolah-olah senyum kat aku.

Tok! tok! tok!. Aku terkejut tak terkata. Rupanya abah dah sampai, suruh bukak kunci pintu. Mak aku yang bukakan, dan aku berpaling semula ke arah kubur tu. Kepala tu masih ada. "Mak.. Abah.. tengok tu!", sambil aku tunjuk ke kubur tu. Mak abah aku tengok ke situ. "Apa benda ada kat situ?", tanya abah. "Tak nampak ke? Ada kepala orang kat situ". Aku berpaling, pandang abah aku. Dia beriya-iya cari muka orang yang aku kata tu. Mak pun sama. Aku berpaling semula ke arah kubur tu. Tapi... aikkk! dah hilang! Kepala tu dah tak ada... macam biskut pulak. Aku tak nampak apa-apa lagi. "Dah hilangla abah. Tadi ada... betul...". Aku takkan nak bohong abah aku pulak, sedangkan aku ni memang seorang anak yang baik, yang tak reti langsung nak berbohong.

"Alaa... takde apa. Saja along nampak je tu. Takde apa. Along ngantuk tu kot." Abah aku mungkin taknak aku berasa takut, sebab tu dia cakap gitu. Aku memang tak takut pun...! Tapi itu cuma cakap kat mulut je la kan... dlm hati, tuhan saja yang tahu.

Bila dah sampai kat rumah, aku tanya mak, kenapa dia tak menyahut aku panggil tadi. Mak kata dia tertidur laaa... Alaahai, kesian mak aku. Dia penat agaknya. Takpela. "Tapi betul ke mak tak nampak kepala tu tadi?". "Mana ada... takde apa pun. Kubur tu memang la ada...". Entah. Aku diam je.

Tak lama lepas tu, aku dah lupa sebab apa, aku singgah kat surau tu waktu zohor. Senyap-senyap, aku pergi semua ke tempat abah parking kereta hari tu. Aku perhatikan betul-betul. Aku tak nampak kepala, tapi aku nampak ada huruf nun besar kat kubur tu. Alaa... kan sesetengah orang ada pasang macam dinding kubur yang warna putih tu... tapi sekarang dah kurang dah kan. Ada tertulis ayat kat dinding tu, hujung ayat tu ada huruf nun. Aku dah lupa ayat apa yang tertulis kat situ. Aku pergi panggil abah, dan tunjukkan kubur tu. Haahahaha... dia gelakkan. "Kan abah dah kata, takde apa-apa. Along nampak huruf nun tu je hari tu...". Sebagai anak yang tak melawan mak bapak, aku diam je. Tapi dalam kepala aku, dah ada jawapan. Kalau aku nampak huruf nun, macam mana dia boleh naik bertenggek atas kubur? Dah tu senyum kat aku pulak tu... Nun tu duduknya kat dinding kubur, bukan atas kubur!

Kisah kepala atas kubur ni berlaku kira-kira 16 tahun yang lalu. Tapi aku tak boleh lupa sebab aku sendiri yang mengalaminya. Sampai ke hari ni, aku tak tau apa sebenarnya yang aku nampak tu. Tapi kalau pun betul memang ada makhluk sebegitu yang aku nampak, aku tak heran. Makhluk halus memang dicipta. Kuasa Allah tu teramat besar.

Sekarang aku tak tinggal kat bandar tu lagi. Ikut abah aku pindah. Aku ni kan setia, ikut abah aku... Tapi sekali-sekala ada jugak aku ke sana. Kali terakhir, lebih kurang sebulan yang lalu. Secara spontan aku akan terpandangkan kubur tepi parit tu setiap kali aku lalu jalan tu, walaupun sekarang aku dah pandu kereta sendiri. Wallahu a'lam.

VL : Cerita Asal Ahmad Kamal Fauzi ( Sg Merab )
Read more ...

Tazkirah Ramadhan – Iblis Bertanya, Allah Menjawab


Anas bin Malik r.a. berkata: Iblis telah bertanya pada Allah, katanya : “Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan anak Adam tempat kediaman untuk mereka berteduh dan berzikir kepadaMu, oleh itu tunjukkanlah padaku tempat kediaman untukku.”

Firman Allah: “Tempat kediamanmu adalah di dalam tandas.”

Iblis bertanya lagi: “Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan anak Adam berkumpul di masjid, di manakah pula tempatku berkumpul?”

Firman Allah: “Tempatmu berkumpul ialah di pasar-pasar, pesta, pusat membeli belah, kelab malam, tempat hiburan serta majlis-majlis maksiat.”

Iblis bertanya: “Wahai Tuhanku, Engkau berikan anak Adam itu kitab (al-Quran) untuk mereka membacanya, tunjukkanlah apa pula bahan bacaanku?”

Firman Allah: “Bacaan untukmu ialah syair dan sajak yang melalaikan.”

Iblis bertanya: “Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan kepada mereka cerita-cerita benar, apakah pula cerita bagiku?”

Firman Allah: “Cerita bagimu ialah kata-kata kesat dan dusta.”

Iblis bertanya:”Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan azan kepada anak Adam untuk mereka memanggil orang sembahyang, apa pula azan untukku?”

Firman Allah: “Azan untukmu ialah seruling.”

Iblis bertanya: “Wahai Tuhanku, Engkau telah menghantar utusan-Mu dari para rasul dan juga nabi, siapakah yang menjadi utusanku?”

Firman Allah : “Para utusan mu terdiri daripada bomoh, tabib dan dukun yang menduakan Aku.”

Iblis Bertanya: “Wahai Tuhanku, Engkau berikan kitab suci al-Quran yang bertulis kepada mereka, apakah pula tulisan bagiku?”

Firman Allah: “Tulisanmu ialah tatu, gincu serta lukisan di badan.”

Iblis bertanya:”Ya Tuhanku, Engkau berikan anak Adam perangkap, apakah pula perangkap bagiku?”

Firman Allah : “Perangkap bagimu ialah wanita.”

Iblis bertanya: “Ya Tuhanku, Engkau berikan mereka minuman yang halal yang disebutkan nama-Mu, apakah pula minuman untukku?”

Firman Allah : “Minumanmu ialah sesuatu yang memabukkan serta tidak disebutkan nama-Ku padanya.”

Sabda Rasulullah saw : ” Wahai manusia, laksanakanlah amalan-amalan menurut kemampuan kamu. Sesungguhnya Allah tidak akan bosan sebelum kamu merasa bosan. Sesungguhnya amalan yang paling disukai Allah ialah amalan yang ringan namun berterusan.”

(Hadis Riwayat Muslim)
Read more ...

Sejarah Solat 5 Waktu.

Nabi Muhammad SAW merupakan nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah SWT untuk membimbing manusia ke arah jalan kebenaran. Tidak seperti umat nabi-nabi yang lain, umat nabi Muhammad telah diperintahkan untuk mengerjakan solat 5 waktu setiap hari. Ini merupakan kelebihan dan anugerah Allah SWT terhadap umat nabi Muhammad dimana solat tersebut akan memberikan perlindungan ketika di hari pembalasan kelak. Berikut diterangkan asal-usul bagaimana setiap solat mula dikerjakan.

Subuh

Manusia pertama yang mengerjakan solat subuh ialah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh telah keluar, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.

  1. Rakaat pertama: Tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam.
  2. Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.
Zohor

Manusia pertama yang mengerjakan solat Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah SWT telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.. Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.
  1. Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan.
  2. Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
  3. Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan Allah SWT.
  4. Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.
Asar

Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah SWT daripada 4 kegelapan iaitu:
  1. Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.
  2. Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.
  3. Rakaat ketiga: Kelam dengan malam.
  4. Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan Nun.
Maghrib

Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukur Nabi Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:
  1. Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
  2. Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
  3. Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT semata-mata, tiada dua atau tiganya.
Isyak

Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah SWT menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.
  1. Rakaat pertama: Tanda dukacita terhadap isterinya.
  2. Rakaat kedua: Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
  3. Rakaat ketiga: Tanda dukacita terhadap Firaun.
  4. Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun
Read more ...