14 September 2011

[MJ12] : "Gula-Gula" Di Bawah Blok.

Saya ada satu kisah yang ingin diketengahkan. Kisah ini bukanlah berlaku pada saya tetapi rakan sekolah saya. Kisah ini, pada saya sangat seram dan boleh saya rasakan apa yang beliau rasakan ketika itu. Sebab saya ini berkaca-mata. Begitu juga dengan rakan saya ini. Tanpa cermin mata saya, penglihatan saya akan jadi kabur.

Jadi kisahnya begini. Pada satu hari, rakan saya ini sedang menunggu abangnya di bawah blok sekitar waktu Maghrib. Dia tidak memakai cermin-matanya kerana dia baru bangun dari tidur dan disuruh oleh ibunya untuk turun ke bawah blok dah hantar barang kepada abangnya kerana terlupa untuk ambil barang itu. Jadi rakan saya ingat untuk sebentar sahaja, jadi dia pun turun ke bawah blok tanpa cermin-matanya.

Sedang dia menunggu, dia rasa seperti ada sesuatu benda yang sedang memerhatikannya. Dia pun lihat sekelilingnya. Tiba-tiba di satu tembok putih di bawah blok itu, dia terlihat seperti ada barang yang sedang bergerak. Dia sebenarnya tidak pasti apakah yang dilihat kerana penglihatanya kabur (tanpa cermin mata). Rakan saya ini pun cuba mengecilkan mata dia. (Saya ini pun kadangkala kalau lupa bawa cermin mata ke sekolah, saya akan mengecilan mata saya untuk melihat papan tulis di hadapan).

Bila rakan saya buat demikian barulah dia tahu apakah benda itu tersebut. Nak tahu apa yang dia nampak? Dia nampak "Gula-Gula" sedang melompat menuju ke arahnya. Benda itu putih dan tembok di bawah blok itu pun putih. Oleh kerana penglihatannya tidak begitu jelas, benda itu seperti bersatu dengan benda-benda di sekeliling tembok blok itu. Bila dia dapat tahu "gula-gula" itu sedang menuju ke arahnya, dia pun lari dan naik ke atas rumahnya.

Apabila saya cuba bayangkan cerita yang rakan saya beritahu saya ini, saya rasa seram sejuk sahaja. Kerana mata saya ni pun hanya boleh pandang jarak dekat. Barang yang jauh, saya tidak dapat lihat dengan jelas. Jadi saya ini pun takut-takut jugalah kalau ternampak sesuatu benda jauh yang tidak jelas dan bila pandang betul-betul, benda itu mungkin adalah makhluk halus. Kisah ini berlaku di kawasan ..... MARSILING.

Terima Kasih,

VL : petikkan dari cerita mesteri jam 12@blog rasmi MJ12.

comments: 0