10 Jun 2011

Gambar Entiti Aneh Dirakamkan (Kes Paranormal)

Menurut bekas polis, Mohd Fauzi Bidin, 60 tahun, banglo tersergam di Bukit Darah, Sungai Buloh, Selangor dianggarkan berusia lebih 60 tahun.


Jam 1 pagi, Fauzi bersama saya, Rahmat Mokhtar, Razali Harun, Adnan Abdullah dan Azhar Ramli memasuki pekarangan banglo pernah dihuni keluarga warga Britain dan Sri Langka terbabit. 


Sebelum ini Azhar berkongsi kejadian aneh dialaminya, Sewaktu menghampiri pintu utama banglo, hati mula berdebar. Suhu di sekitar agak panas, IR Thermometer menunjukkan bacaan 80 Fahrenheit. 


Kami membuat keputusan bergerak ke belakang banglo untuk memasang kamera web. Saya perhatikan, halaman banglo dijadikan tapak semaian pelbagai jenis anak pokok.


Dalam kegelapan malam, Rahmat berjalan mendahului kami tiba-tiba berlari meluru ke tapak semaian dan merakamkan gambar menggunakan kamera digitalnya.


Lihat gambar pokok rendang menghijau, saya rakamkan di belakang banglo sama. Barangkali pohon itu juga seusia banglo. Banglo dikatakan pernah menjadi saksi kejadian wanita berbangsa Inggeris dilaporkan mengantung diri.


Biarpun berasa seram tetapi tiada ahli kumpulan bersuara. Saya dan Rahmat kemudian pantas memasang 2 kamera web menggunakan komputer riba kami bawa. Lensa kamera kami halakan ke arah pokok terbabit.


 "Kalau ada benda lalu, InsyaAllah web cam dapat capture," bisik Rahmat. 

Menurut Fauzi, dia pernah beberapa kali bertembung kelibat lembaga hitam di banglo itu. Namun melihat reaksinya, saya tahu bapa kepada 9 anak dan datuk kepada 17 cucu itu, lelaki berani. 


Biarpun berusia puluhan tahun, tiang utama banglo masih kelihatan teguh.  Jika tiang terbabit mampu bercakap, pasti banyak kisah suka, duka dan mengerikan mampu dikongsikan bersama kami.


Jam 1.05 pagi, kami memasuki banglo melalui pintu utama dan kemudian menaiki tangga ke tingkat atas.  Gambar saya rakam di bawah menceritakan rentetan tinjauan kami lakukan. 


"Ini lorong ke bilik tempat perempuan tu menggantung diri," kata Azhar.


Hati saya tidak berdebar cuma perasaan cuak mengusik jiwa kerana tidak mampu menduga apa bakal dilihat dan ditemui di bilik terbabit. Mujur, sejak awal pertemuan saya membuat perjanjian dengan Adnan.

"Bang, saya penakut. Janji dengan saya, apa terjadi, abang akan tetap berjalan di belakang saya," pinta saya.


Saya bernasib baik, Adnan, 50 tahun, bersetuju memenuhi permintaan itu. Dia kenalan saya sejak  menyertai operasi membanteras pendatang tanpa izin bersama pasukan RELA di Damansara suatu ketika dahulu.

Kami kemudian memasuki bilik bertentangan bilik pernah dihuni wanita Inggeris terbabit. Masih terdapat beberapa perabot di dalamnya.  

"Sebelum awak ternampak kelibat perempuan tu di tingkap bilik depan, awak kata rumah ini terang-benderang macam berlampu, kan?," soal saya kepada Azhar.

"Ya, sekarang baru kita semua nampak, sebenarnya bekalan elektrik memang tak ada, plug semua dah tanggal," balasnya.


Sewaktu meninjau bahagian belakang rumah dari tingkat satu, saya rakamkan gambar kolam renang terletak kurang 50 meter dari banglo terbabit.


"Mungkin di situlah perempuan tu mandi suatu ketika dahulu," kata Azhar. 

Hampir jam 1.30 pagi, Rahmat membuat keputusan memindahkan kamera web ke bilik didakwa terjadinya kes membunuh diri itu.


Kamera Rahmat diletakkan di lorong manakala kamera saya ditempatkan di dalam bilik berhampiran pintu.


"Di tingkap inilah saya ternampak perempuan memakai baju putih, berambut panjang dengan beg tergantung di belakang tu," kata Azhar. 


Kami kemudian segera beredar keluar setelah memastikan 2 kamera terbabit beroperasi.


Kurang setengah jam berada di luar pagar banglo, tiba-tiba Rahmat bersuara.

"Bang, ada kawan di Facebook komen ternampak gambar entiti di dalam gambar saya posted tadi," katanya.

Berikut gambar dirakam menggunakan telefon bimbit berjenama Black Berry Torch milik pengkaji paranormal itu.


Untuk tujuan perbandingan, berikut lokasi sama gambar terbabit dirakamkan.


Jam 2.40 pagi kami kembali semula ke bilik kamera diletakkan. Hasilnya? Kamera saya gagal merakamkan sebarang visual. Malah lebih menghairankan, fail rakaman juga didapati tidak wujud. Kamera milik Rahmat? Hasil rakaman, jika ada, belum lagi diprebiu setakat tampalan ini selesai ditulis.


Berikut pesanan ringkas dihantar Rahmat kepada saya, pada jam 4.18 pagi tadi ...

'Video saya juga hilang'

Apapun, terima kasih kepada semua kerana sudi menempuh satu lagi pengalaman baru.


VL : Nurkilan dari saudara Mazidul Akmal Sidik

comments: 0