06 Oktober 2011

Mentega Golden Churn syubhah

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Okt - Produk mentega Golden Churn Pure Creamery Butter keluaran Syarikat Ballantyne Food Pty Ltd dari New Zealand dihukumkan "syubhah" oleh Majlis Ugama Islam Negara Brunei Darussalam (MUIB).

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Pengiran Haji Abdul Rahman selaku yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam semasa memberi kenyataan pada sidang media di Kementerian Hal Ehwal Ugama hari ini.

Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad berkata; "MUIB memaklumkan kepada orang ramai khususnya umat Islam di negara ini bahawa MUIB pada mesyuaratnya yang diadakan pada 3 Oktober 2011 telah mempertimbangkan perkara mengenai produk mentega berkenaan dan MUIB telah mengambil beberapa keputusan.

"Keputusan-keputusan itu diambil adalah berdasarkan fatwa Mufti Kerajaan Siri Fatwa Bil: (30/2011) bertarikh 25 Syawal 1432 bersamaan 24 September 2011 dan berdasarkan maklumat baru dan perkembangan semasa mengenai produk itu, maka MUIB bersetuju merumuskan kedudukan produk mentega itu hukumnya syubhah mengikut hukum syarak."

Beliau menegaskan, perkara syubhah itu hendaklah dijauhi dalam makna menghendaki supaya umat Islam meninggalkan benda yang meragukan kehalalannya untuk menjaga kesucian agama dan kehormatan diri.

Sehubungan itu Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad menasihatkan umat Islam di negara ini supaya meninggalkan dan menjauhi perkara syubhah itu.

Selain itu, MUIB juga meminta kerjasama pihak terbabit supaya menarik balik semua produk mentega Golden Churn berkenaan dari pasaran di negara ini dan produk itu juga tidak dibenarkan dibawa masuk ke negara ini sehingga mendapat Sijil Halal dan Permit Halal Brunei mengikut prosedur yang ditetapkan.

Sementara berdasarkan keputusan MUIB, umat Islam di negara ini juga dinasihatkan untuk tidak menggunakan produk mentega Golden Churn berkenaan disebabkan oleh kedudukannya yang syubhah.

"Kedudukan yang syubhah dalam hukum syarak menyuruh menjauhi syubhah iaitu menghendaki supaya meninggalkan benda yang meragukan kehalalannya," tegas Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad lagi.

 

comments: 0