09 Oktober 2011

Jauhi khurafat

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Okt - "Jauhi perkara karut atau khurafat yang bertentangan dengan ajaran agama Islam," peringat Khatib kepada bakal jemaah haji negara ini dalam Khutbah Jumaat hari ini.

Perbuatan sedemikian bukan saja boleh menjejaskan ibadat haji malahan juga boleh menjejaskan akidah seseorang, tegas Khatib.

Khatib turut mengingatkan bakal jemaah haji supaya jangan sesekali mengabaikan ibadat wajib seperti menunaikan solat fardu lima waktu pada waktunya walaupun sedang sibuk dan penat melakukan ibadat dan manasik haji.

Menurut Khatib perkara di atas sangat penting jika bakal jemaah haji mahu mendapat haji mabrur, selain melaksanakan rukun dan wajib serta sunat haji dengan sempurna. Di samping itu mereka juga hendaklah memperbanyakkan amalan-amalan sunat seperti mengerjakan solat sunat Rawatib, membaca Al-Quran, memperbanyakkan tawaf sunat, berdoa, berzikir, berselawat, beriktikaf dan bersedekah, tambah Khatib.

"Apa yang penting mereka hendaklah juga memelihara diri dari melakukan sebarang perbuatan berdosa dengan memelihara lidah, menjaga pandangan mata, menjaga kelakuan dan tingkah laku."

Khatib juga mengingatkan bakal jemaah haji supaya dalam menghadap apa juga kesulitan dan rintangan ketika di Tanah Suci nanti menghadapinya dengan tabah, sabar dan reda serta memperbanyakkan doa dan zikir supaya hati menjadi tenang dan tenteram.

Peliharalah diri dari bersifat marah, mengeluh atau merungut dalam menghadapi apa jua kesukaran atau ketidakselesaan ketika berada di Tanah Suci nanti, nasihat Khatib lagi.

"Semua itu hendaklah diterima sebagai ujian dan dugaan yang perlu dihadapi dalam usaha untuk mendapatkan haji yang mabrur sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah Taala."

Ketika menyentuh perbelanjaan untuk mengerjakan ibadah haji, Khatib mengakui ia bukannya sedikit dan tidak semua orang mampu menyediakannya dengan sekali gus.

Oleh itu, Khatib menasihatkan umat Islam yang berkeinginan untuk menunaikan haji supaya menyimpan wang sedikit demi sedikit, bak kata pepatah "sikit-sikit lama-lama jadi bukit."

Lebih-lebih lagi pada masa ini terdapat institusi kewangan yang menawarkan kemudahan untuk menyimpan wang khas bagi tujuan menunaikan haji seperti Akaun Tekad Haji dan Akaun Tabung Haji, tambah Khatib.

"Insya Allah dengan niat yang ikhlas dan azam yang bersungguh-sungguh, maka pada suatu waktu nanti akan terkumpullah juga perbelanjaan yang diperlukan dan mencukupi bagi menunaikan Rukun Islam Kelima berkenaan."

Khatib juga memberi peringatan kepada mereka yang telah mencukupi syarat-syarat untuk mengerjakan haji dan mempunyai kemampuan, adalah sunat bagi mereka untuk tidak melambatkan naik haji sebelum datang perkara yang akan menghalanginya kerana Islam sangat menggalakkan umatnya bersegera dalam membuat sebarang amal kebajikan.

Renungkan Hadis Qudsi riwayat Ibnu Hibban yang kira-kira bermaksud, "Dari Abu Sa'id Al-Khudry Radiallahu Anh bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda di mana Allah Taala berfirman: Sesungguhnya seorang hamba Ku yang telah Aku kurniakan kesihatan pada tubuh badannya, telah Aku perluaskan kehidupan dengan melapangkan rezekinya, di mana jika lima tahun telah melewatinya sedangkan dia tidak datang kepada Ku bagi mengerjakan haji, maka terjauhlah dia dari kebaikan."


comments: 0