18 September 2011

Mengelak Dari Kemarahan.



Tabiat manusia suka berdepan dengan keburukan orang lain. Kadangkala tabiat itu membawa kepada dengki dan dendam. Segala cetusan ini adalah hasutan syaitan kerana pada waktu itu manusia sudah hilang pertimbangan lantas mereka mula bertindak di luar pemikiran yang wajar. Untuk mengelak persoalan tersebut setiap insan perlu mengawasi diri mereka supaya jangan mengikut perasaan, atau jangan menyahut seruan dan panggilan orang yang sedang marah. Seandainya kita bedaya mengawasi dan menahan keadaan demikian, maka itulah sifat orang yang bertakwa dan befirnan kepada Allah. (Rujuk 'Abdul Hakim Assaid' Adam, 1984. hlm. 34)

Firman Allah:"Dan orang orang yang menahan dari kemarahan serta memberi kemaafan pada orang lain sesungguhnya Allah amat kasih terhadap orang yang berbuat baik" (Surah Al-Imran: 134)

Berdasarkan pengajaran dari ayat tadi Allah menyeru hamba-hambaNya melakukan kebaikan sesama manusia apabila mereka menjalin persahabatan dalam pergaulan seharian.Di sini kita dapati antara akhlak yang diajar oleh Allah kepada rasul-Nya Muhammad s.a.w. ialah adab pergaulan, seperti lemah-lembut, berhati mulia, sabar dalam menghadapi situasi yang tidak diingini, pemaaf, berdamai dan menahan marah. Sebagai dalilnya Allah berfirman:"Ambil olehmu wahai Muhammad jalan kemaafan dan suruh umatmu melakukan kebaikan dan berpaling olehmu dari orang-orang yang jahil." (Surah Al-A’raf: 199)

Ayat ini menegaskan bahawa kemaafan adalah lambang kemuliaan akhlak ketika hendak bekerjasama dengan orang lain. Andai terdapat sikap atau tingkah laku yang kurang menyenangkan, atau mempamerkan keperibadian yang kurang sopan dan akhlak yang rendah, kita hendaklah menjauhkan diri dan jangan melayani mereka. (Rujuk Al-Razi. 1990. hlm. 78. Juzuk 15).

Sebab itu ketika turun ayat ini Rasulullah bertanya kepada Jibrail:"Wahai Jibrail! Apa maksud ini?" Kata jibrail, "Wahai Muhammad! Sesungguhnya Tuhan kamu berfirman dengan maksud: Hendaklah kamu sambung silatulrahim dengan sesiapa yang memutus persahabatan denganmu, dan hendaklah kamu menghulur pemberian kepada sesiapa yang menegah pemberiannya pada kamu dan hendaklah kamu maafkan sesiapa yang menzalimi kamu".Melalui ayat dan hadis ini Allah menyuruh hamba-Nya memaafkan kesalahan orang lain, menghormati orang yang tidak menghormati orang lain (dengan maksud sombong dan angkuh) dan merapatkan silatulrahirn yang telah terputus. Inilah gambaran sebaik-baik akhlak yang dituntut oleh Allah. (Rujuk Al-Wahidi Al-Nisaburi. 1316H. hlm. 171).

Sebab itu Rasulullah bersabda: ‘Kekuatan itu bukanlah ketika menang dalam pertarungan, sesungguhnya kekuatan yang sebenar dapat menahan dari kemarahan.’ (Al-Bukhari). Sebab itu para 'ulama dan ahli psikologi sependapat bahawa orang yang pemarah dan berani melakukan sesuatu di luar landasan akhlak itu ialah mereka yang termasuk dalam golongan bodoh dan tidak normal jiwa dan fikiran kerana mengikut nafsu dan perasaan semata-mata, bukan mengutamakan pemikiran yang bijak. Tetapi orang yang berani sebenarnya ialah mereka yang dapat mengawal diri serta nafsu marahnya dengan penuh kesabaran serta dapat memaafkan segala kesilapan yang dilakukan oleh orang lain terhadapnya, sekaligus menggambarkan dialah orang yang cerdik dan bijak. Berdasarkan firman Allah:"Dan bagi sesiapa yang sabar dan sentiasa memberi keampunan yang demikian itu termasuk golongan yang melaksanakan setiap yang dituntut." (Surah Al-Syura: 43)

Dalam al-Quran Allah berfirman:"Dan balasan jahat itu ialah jahat seumpamanya maka sesiapa yang memberi kemaafan serta berdamai ganjarannya ke atas Allah yang membalasnya." (Surah Al-Syura: 40)

Melalui ayat ini dapat direnungi betapa agung akhlak Rasulullah seperti yang dijelaskan melalui gambaran kemuliaan peribadi junjungan kita Muhammad s.a.w. Adalah jiwa Nabi s.a.w. bagaikan lautan bila dicampak batu kedalamnya tidak akan keruh dan tidak akan kering berkali-kali ditimba airnya, tidak ada suatu perasaan hanya lemah lembut dan sabar, bagi orang-orang yang sabar sahaja mengenali sifat ini. Sebagai cara ke arah penyelesaian, Nabi s.a.w. tidak melayani sebarang yang menyakiti melainkan kesabaran dan tidak pernah merasa rugi segala perbuatan orang-orang jahil melainkan menolak secara lemah-lembut, dan tidak berhasrat membuat penentangan melainkan sekiranya ada pencerobohan yang diharam oleh Allah maka dia menentang kerana Allah. ('Ali Said Farahali 1985. hlm. 89-91)

Dari gambaran hadis di atas jelas sikap Rasulullah s.a.w. sepanjang hayatnya sebagai seorang yang pemaaf, penyabar dan tidak pernah marah. Melalui sejarah kita dapat melihat betapa banyak perbuatan jahiliah yang menyakiti Rasulullah, namun beliau tetap sabar, tidak marah, malah memberi kemaafan terhadap segala keburukan yang dilakukan terhadapnya. Di samping itu baginda berdoa:‘Ya Allah! Beri olehmu petunjuk pada kaumku ini sesungguhnya mereka tidak mengetahui’. (Al-Bukhari)

comments: 0