Sabda Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam :
"Semua masuk neraka kecuali satu"
Apakah mereka yang masuk neraka itu akan kekal di dalamnya ataukah masuk neraka terlebih dahulu kemudian dikeluarkan..?
Apabila kita berpendapat bahawa mereka akan kekal dalam neraka maka pendapat ini hanya berlaku untuk orang-orang kafir yang belum tersentuh hatinya dengan iman kerana yang kekal dalam neraka itu hanyalah orang-orang musyrik sesuai dengan ijmak berdasarkan firman ALlah subahanahu wa ta'ala :
إن الله لا يغفر أن شرك به و يغفر ما دون ذالك لمن يشاء ومن يشرك بالله فقد افتر إثما عظيما
Ertinya : "Sesungguhnya ALlah tidak akan mengampuni dosa berbuat syirik tetapi mengampuni dosa selain yang demikian. Barangsiapa yang berbuat syirik terhadap ALlah, maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar"
(Surah An Nisa' : 48)
Sekiranya kenyataan seperti ini maka bagaimana mungkin kita boleh mengutamakan dari tubuh umat Islam yang besar ini satu kelompok yang mengaku dengan Firqah Najiah di mana kelompok itu sahaja yang selamat dari kekal di dalam neraka sedangkan kaum Muslimin yang lain - sesuai dengan pengakuan mereka akan kekal semuanya dalam neraka? Padahal mereka itu adalah orang-orang yang mengucapkan dua kalimah syahadah dan RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam telah menghukumkan mereka sebagai ahlul jannah dan termasuk orang-orang yang selamat (dari kekal dalam neraka) ? Di dalam sahih Bukhari pada hadith no 44, Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda :
يخرج من النار من قال لا إله إلا الله وفي قلبه وزن شعيرة من خير ويخرج من النار من قال لا إله إلا الله و في قلبه وزن برة من خير ويخرج من النار من قال لا إله إلا الله وفي قلبه وزن ذرة من خير
Ertinya : "Akan keluar dari dalam neraka orang-orang yang mengucapkan La ilaha illaLLah, sedangkan dalam hatinya terdapat kebaikan seberat satu helai rambut dan akan keluar dari dalam neraka orang-orang yang mengucapkan La ilaha illaLLah sedangkan dalam hatinya terdapat kebaikan seberat biji gandum dan akan keluar dari dalam neraka orang-orang yang mengucapkan La ilaha illaLLah sedangkan dalam hatinya terdapat kebaikan seberat zarrah "
Tersebut dalam Sahih Bukhari juga pada hadith no 7072 :
يقول الله تعالى : وعزتي وجلالي وكبريائي وعظمتي لأخرجن منها (أي من النار) من قال لا إله إلا الله
Ertinya : ALLah subahanahu wa ta'ala berfirman : Demi kemuliaan, ketinggian, kebesaran dan keagunganKu sesungguhnya Aku akan mengeluarkan dari dalam neraka siapa sahaja yang telah mengucapkan La ilaha illaLLah"
Tersebut dalam sahih Ibnu Khuzaimah pada hadith no 1231 bahawa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :
من قال لا إله إلا الله دخل الجنة
Ertinya : "Barangsiapa mengucapkan La ilaha illaLLah maka dia pasti masuk syurga"
Dalam sahih Ibnu Hibban hadith no 169 dari Abi Dzar radiyaLlahu 'anhu, dia berkata : Bersabda RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam :
Barangsiapa mengucapkan La ilaha illaLlah maka dia pasti masuk syurga". Aku bertanya: "Wahai RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam walaupun dia telah berzina dan mencuri?" RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam menjawab: "Walaupun dia telah berzina dan mencuri".
Dalam Mustadrak al Hakim hadith no 7638 disebutkan bahawa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :
من قال لا إله إلا الله دخل الجنة ووجبت له الجنة
Ertinya : "Barangsiapa mengucapkan La ilaha illaLLah maka dia pasti masuk syurga dan itu adalah pasti".
Ibnu Hibban mengeluarkan dalam sahihnya hadith no 3004 bahawa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :
لقنوا موتاكم لا إله إلا الله فإنه من كان اخر كلمته لا إله إلا الله عند الموت دخل الجنة وإن أصابه قبل ذالك ما أصابه
Ertinya : "Ajarilah orang-orang yang akan mati di antaramu kalimah La ilaha illaLlah kerana barangsiapa yang akhir ucapannya di ketika mati adalah La ilaha illaLlah maka dia pasti masuk syurga walaupun sebelumnya dia banyak melakukan dosa kesalahan"
Hadith yang seperti ini juga dikeluarkan oleh al Hakiim dalam al Mustadrak pada hadith 1299, Abu Daud dalam sunannya pada hadith no 3116 dan at Turmuzi dalam sunannya hadith no 977.
Sesudah memerhatikan beberapa hadith di atas maka bagaimana mungkin mereka yang telah mengucapkan La ilaha illaLLah Muhammad RasuluLlah itu kita hukumkan sebagai orang-orang yang kekal dalam neraka kerana beranggapan bahawa mereka itu bukan termasuk Firqah Najiah - menurut persangkaan mereka?
SubhanaLlah, ini adalah kebohongan yang nyata dan penolakan terhadap hadith-hadith sahih serta satu kebohongan terhadap riwayat-riwayat yang mutawattir.
Jika mereka berpendapat bahawa makna dari : "Semua mereka masuk neraka kecuali satu (golongan) sahaja" adalah masuk neraka terlebih dahulu kemudian dikeluarkan darinya maka saya bertanya: "Dari mana mereka yang mengaku dirinya sebagai Firqah Najiah itu mengetahui bahawa kelompok mereka tidak akan diazab oleh ALlah dan bahawa mereka akan masuk syurga tanpa hisab padahal ketetapan perkara ini harus menggunakan wahyu dan wahyu sudah terputus..?
ALlah subahanahu wa ta'ala berfirman :
قل هاتوا برهانكم إن كنتم صادقين
Ertinya : "Katakan (wahai Muhammad): "Datangkanlah bukti-bukti kamu jika memang kamu orang-orang yang benar
(Surah al Baqarah : 111)
ALlah subahanahu wa ta'ala juga berfirman :
وقالو لن تمسنا النار إلا أياما معدودة قل أتخذتم عند الله عهدا فلن يخلف الله عهده أم تقولون على الله ما لا تعلمون
Ertinya : "Dan mereka berkata: "Kami sekali-kali tidak akan disentuh oleh api neraka kecuali selama beberapa hari sahaja". Katakanlah : "Sudahkah kamu menerima janji dari ALlah sehingga ALlah tidak akan memungkiri janjiNya ataukah kamu hanya mengatakan terhadap ALlah apa yang kamu tidak ketahui?
(Surah al Baqarah: 80)
Jika ucapan ALlah subahanahu wa ta'ala terhadap orang-orang Yahudi sedemikian kerasnya padahal mereka tidak pernah menghukum keadaan ummat lain di akhirat nanti - melainkan kesalahan terbesar mereka terletak pada keyakinan bahawa diri mereka akan dikeluarkan dari neraka sesudah melewati beberapa hari sahaja tanpa ada pemberitahuan kepada mereka dari ALlah subahanahu wa ta'ala - lalu bagaimana dengan keadaan satu kelompok yang meyakini bahawa diri mereka pasti akan masuk syurga sedangkan kelompok lain yang juga bertauhid dan beriman serta mengucapkan dua kalimah syahadah adalah penghuni neraka lantaran dosa-dosa yang mereka perbuat.. ?
Padahal kita semua mengetahui bahawa dosa itu bagaimana besar dan banyaknya tetap sahaja urusannya itu kembali kepada ALlah subahanahu wa ta'ala.
comments: 0
Catat Ulasan