18 Mei 2011

MEMOHON MAAF KERANA MELAKUKAN ZINA

Soalan;

Sekiranya seorang lelaki yang sudah berkahwin berzina dengan isteri orang atau sebaliknya(isteri berzina dengan lelaki yg sudah berkahwin) dan sekarang beliau telah insaf dan melakukan taubat nasuha, adakah lelaki itu wajib meminta maaf kepada suami wanita tersebut?

Jawapan;

Zina adalah dosa yang amat besar di dalam Islam apatahlagi jika dilakukan dengan wanita yang telah bersuami. Perbuatan tersebut menganiayai si suami terbabit, menjatuhkan air mukanya dan menghancur-luluhkan hatinya jika ia mengetahuinya. Berkata Imam Ibnu Hajar; "Zina ada beberapa martabat. Berzina dengan wanita ajnabi yang tak bersuami sudah dikira dosa besar. Lebih besar lagi dosa jika dilakukan dengan wanita ajnabi yang besuami. Lebih besar dari itu apabila seorang berzina dengan mahramnya sendiri. Perbuatan zina seorang yang pernah berkahwin lebih keji dari orang belum pernah berkahwin berdalilkan hukuman had yang berbeza antara keduanya (yakni hukuman had yang dikenakan ke atas penzina yang pernah berkahwin lebih berat iaitu direjam sampai mati, berbanding yang belum berkahwin hukumannya disebat 100 rotan). Zina oleh orang tua lebih keji dari zina oleh orang muda kerana akalnya lebih sempurna. Zina oleh orang merdeka dan orang alim lebih keji dari zina yang dilakukan oleh hamba dan orang jahil" (az-Zawajir 'An Iqtiraf al-Kabair).

Orang yang terlanjur melakukan zina hendaklah segera bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha iaitu dengan memenuhi semua syarat-syarat taubat iaitu;

1. Meninggalkan perbuatan dosa dan maksiat yang dilakukan sepenuhnya
2. Menyesal sesungguh hati atas ketelanjuran melakukannya
3. Berazam dengan keazaman yang bulat/penuh tidak akan mengulagi lagi dosa dan maksiat tersebut.
Di samping ia hendaklah memperbanyakkan amal-amal soleh dan kebajikan kerana amal-amal yang baik akan menutup kejahatan-kejahatan yang lalu. Firman Allah (bermaksud); "Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat" (Surah al-Furqan, ayat 71).

Perlukah ia memberitahu perbuatan zinanya kepada orang lain (termasuk suami wanita yang dizinainya) sebagai tanda taubat dan penyesalan? Jawapannya; memadai dengan kita melakukan apa yang disuruh oleh Syariat sebagai tanda taubat kita iaitu dengan melaksanakan rukun-rukun taubat nasuha tadi. Syariat tidaklah mensyaratkan orang berzina mesti mengisytiharkan perbuatan zinanya sebagai syarat sah taubatnya. Malah terdapat hadis dari Nabi memerintahkan supaya kita tidak menghebahkan dosa yang kita lakukan, sebaliknya kita mengekalkannya menjadi rahsia antara kita dan Allah setelah kita memohon ampun dariNya. Sabda Nabi (bermaksud); "Setiap umatku akan diampunkan Allah dosanya kecuali orang-orang yang menzahirkan (dosa/maksiatnya). Di antara penzahiran ialah; seorang lelaki melakukan satu perbuatan dosa di malam hari dan Allah telah menutupnya dari diketahui orang lain. Namun apabila ia bangun pagi, ia menceritakan kepada orang lain; 'Wahai fulan, aku telah melakukan perbuatan sekian sekian semalam'. Allah menutupinya di malam hari, namun di pagi hari dia sendiri yang mendedahkan tutupan Allah ke atasnya" (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah). Baginda juga bersabda; "Allah tidak menutupi seseorang hamba di dunia melainkan Ia akan menutupinya di akhirat" (HR Imam al-Bukhari dan Muslim).

Mengulas hadis tersebut, Imam an-Nawawi menegaskan; Adalah makruh orang yang terlanjur melakukan maksiat memberitahu perbuatan maksiatnya kepada orang lain, akan tetapi hendaklah ia meninggalkan maksiat, menyesalinya dan berazam tidak akan kembali melakukannya. Melainkan jika ada suatu maslahah untuk ia memberitahunya seperti memberitahu guru atau syeikhnya untuk mencari jalan keluar dari maksiatnya, atau untuk selamat dari terjebak dalam maksiat yang sepertinya, atau untuk mengetahui punca ia terjebak dalam maksiat tersebut atau supaya gurunya mendoakan untuknya, maka tidaklah makruh ia memberitahunya. Berkata Imam al-Ghazali; pendedahan yang dicela ialah jika dilakukan dengan tujuan sengaja ingin menzahir atau menceritakan dosa atau maksiat yang dilakukan atau untuk mempermain-mainkan. Adapun dengan tujuan bertanya soalan atau meminta fatwa tidaklah dicela berdalilkan hadis yang menceritakan; seorang lelaki yang terlanjur bersetubuh dengan isterinya pada siang hari di bulan Ramadhan, lalu ia datang kepada Nabi dan menceritakan apa yang berlaku dan Nabi tidak menegah perbuatannya. (Faidhul-Qadier, hadis no. 6279)

Merujuk kepada soalan saudara, tidak perlulah orang terlibat mendedahkan perbuatan zinanya kepada si suami semata-mata untuk memohon maaf darinya. Hendaklah ia menyesali perbuatannya, memohon ampun kepada Allah dengan sesungguh hati, membanyakkan amal-amal soleh dan mendoakan kesejahteraan orang yang teraniayai dengan kerana perbuatan maksiatnya itu.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Laman Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (Islamqa.com), fatwa no. 95024, 47924.
2. Faidhul-Qadier Syarh al-Jami as-Saghier, Imam an-Munawi, hadis no. 6279

comments: 0