Memaparkan catatan dengan label Misteri Jam 12. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Misteri Jam 12. Papar semua catatan

14 September 2011

[MJ12] : Lembaga Hitam Di Atas Atap Rumah Jiran.

Assalammualaikum,

Selamat tengah malam DJ KC dan pendengar-pendengar MJ12,
Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman yang amat menyeramkan, yang berlaku pada saya beberapa bulan yang lalu. Kisah ini berlaku di rumah saya yang terletaknya di sebuah kampung di kawasan Kota Tinggi Johor.

Kisah ini berlaku, sewaktu ahli keluarga saya tidak berada di rumah. Di rumah cuma tinggal saya dan seorang lagi sepupu saya. Ahli keluarga yang lain semuanya keluar bercuti di Kuala Lumpur selama dua hari satu malam. Yang saya ni terpaksa tinggal di rumah untuk meneman sepupu saya yang demam. Sebelum ni, di rumah saya memang tak pernah ada gangguan. Untuk pengetahuan semua, pada malam kejadian, saya dan sepupu mendengar rancangan MJ12 bersama-sama sepupu saya yang sedang demam.

Saya dan sepupu, memang gemar mendengar rancangan MJ12. Sedang kami mendengar MJ12, lebih kurang 1.20 pagi, saya terdengar pintu rumah saya diketuk, dengan suara seorang wanita memanggil-manggil saya, "Haikal... Haikal... Haikal, buka pintu ni kejap..." Waktu tu memang saya tak fikir apa-apa yang buruk, sebab saya fikir mungkin jiran sebelah yang ketuk pintu rumah di waktu malam macam ni, sebab ibu bapa saya memang ada pesan jiran sebelah ni untuk tengok-tengokkan kami berdua di rumah dan pastikan kami tidak keluar malam. Jadi saya dan sepupu yang dari bilik pun pergi ke depan untuk membuka pintu.

Mula-mulanya sepupu saya yang nak buka pintu tapi, disebabkan rasa tak sedap hati, disuruh saya pula yang buka. Jadi, hendak tak hendak saya jugalah yang kena buka. Pegang saja pintu saya dah rasa tak sedap hati, tapi saya tak layan perasaan saya dan terus buka pintu tu. Bila saya buka pintu, saya dapati tak ada orang pun di depan rumah. Saya pun ke depan rumah sedikit, untuk melihat rumah jiran sebelah, nak tengok kalau-kalau dia baru beredar dari rumah saya. Bila saya tengok rumah jiran, rumahnya gelap gelita, macam semua dah tidur. Disebabkan rasa ingin tahu, saya dan sepupu pun pergi ke rumah jiran.

Berkali-kali juga saya ketuk pintu rumah jiran, sehingga akhirnya jiran keluar. Jiran pun bertanya, "Apa yang kau nak ni datang rumah Cik Mun malam2 ni?" Saya pun tanyalah, jiran sebelah tu sama ada dia ketuk rumah saya atau tidak. Katanya tidak, semua orang dah lama tidur. Jadi dari situ tercetus tanda tanya, "Siapa yang ketuk rumah aku malam2, pukul 1 lebih?" Sampai saja depan rumah saya dari rumah jiran, nak buka pintu, tiba-tiba sepupu saya tarik-tarik belakang saya, sambil menunding jari ke arah atap rumah jiran, "Kal, Kal, apa tu?"

Bila saya tengok, saya nampak Lembaga Hitam, tak tahulah macamana nak cakap rupanya, badannya penuh dengan bulu macam 'mawas', lembaga itu duduk bercangkung di atap rumah jiran, sambil memandang ke arah kami. Saya pun apa lagi, cepat2 masuk rumah, masuk bilik baring atas satu katil rapat2 tutup diri dengan selimut, tanpa bercakap sepatah haram pun sampai keesokan harinya. Nasib baik keluarga balik awal esoknya, kalau tak, tak tahulah saya nak cakap apa. Itu saja pengalaman misteri saya.

Selamat Tengah Malam, Sekian. Terima kasih.

Mohd Haikal Dinish.
Kota Tinggi Johor...

VL : petikkan dari cerita mesteri jam 12@blog rasmi MJ12.
Read more ...

[MJ12] : Hantu Tanggal Kepala.

Cerita yang ingin saya kongsi ini masih segar dalam ingatan saya. Kejadian ini berlaku beberapa tahun llalu apabila saya pulang lewat malam jam 2 lebih pagi. Saya telah bertemu kawan-kawan lama untuk minum teh dan berbual-bual sampai lewat malam. Biasalah, jumpa teman2 lama, tentu banyak cerita yang ingin dikongsi antara satu sama lain.

Dipendekkan cerita, Saya telah menaiki teksi pulang. Saya tinggal di kawasan West Coast berhampiran dengan sebuah sekolah. Sesampai saja di tempat meletak kereta di blok saya, saya pun bayar tambang dan keluar menuju ke lif. Sedang saya berjalan ke lif, saya terlihat seorang lelaki sedang berposisi menyangkung dengan kepalanya melihat ke lantai di atas sebuah meja batu bulat di bawah blok.

"Apa kejadah dia ni menyangkung atas meja batu? Dah gila ke?" saya tanya dalam hati. Bajunya lusuh dengan kesan seperti tanah liat yang merah, rambutnya kusut masai. Saya fikir dia orang mabuk atau tidak siuman. Sedang menunggu lif, saya menoleh lagi ke arah lelaki itu. Dia masih berposisi seperti yang saya kata tadi. Semakin lama saya melihatnya di situ, semakin tak sedap hati saya. Saya cuba tidak menghiraukannya tetapi agak sukar.

Tiba2 lelaki itu menangis, tangisan yang sayup itu membuat bulu roma saya berdiri. Saya merenung lelaki itu dengan perasaan takut yang mula menguasai diri saya. Tiba-tiba, KEPALANYA TANGGAL DAN TERGOLEK KE LANTAI!!! "YA ALLAH!" saya teriak dan dengan pantas sepantas-pantasnya saya lari ke tingkat 10 dengan menaiki tangga. Yang buat saya paling menyeramkan, saya terdengar hantu itu memanggil saya, "Nanti...tunggu aku..." Siapa yang tak panik??? Bayangkan apa yang saya alami ini.

Sampai di depan pintu rumah, kunci pula terlupa dibawa. Alamak! Saya ketuk pintu dengan kuat. Ibu saya buka dan tanya, "Apsal kau ni?! Oi apasal?" "Ada hantu tak ada kepala mak kat bawah blok..." "Dah... Dah... Pergi ambil wudhu, istighfar", ibu saya berkata. Saya ambil wudhu, minum air dengan selawat, terasa lega sikit. Sejak hari itu saya tak berani balik lambat lagi. Nasib tak baik.

Terima kasih,

Johari.



VL : petikkan dari cerita mesteri jam 12@blog rasmi MJ12. 
Read more ...

[MJ12] : "Gula-Gula" Di Bawah Blok.

Saya ada satu kisah yang ingin diketengahkan. Kisah ini bukanlah berlaku pada saya tetapi rakan sekolah saya. Kisah ini, pada saya sangat seram dan boleh saya rasakan apa yang beliau rasakan ketika itu. Sebab saya ini berkaca-mata. Begitu juga dengan rakan saya ini. Tanpa cermin mata saya, penglihatan saya akan jadi kabur.

Jadi kisahnya begini. Pada satu hari, rakan saya ini sedang menunggu abangnya di bawah blok sekitar waktu Maghrib. Dia tidak memakai cermin-matanya kerana dia baru bangun dari tidur dan disuruh oleh ibunya untuk turun ke bawah blok dah hantar barang kepada abangnya kerana terlupa untuk ambil barang itu. Jadi rakan saya ingat untuk sebentar sahaja, jadi dia pun turun ke bawah blok tanpa cermin-matanya.

Sedang dia menunggu, dia rasa seperti ada sesuatu benda yang sedang memerhatikannya. Dia pun lihat sekelilingnya. Tiba-tiba di satu tembok putih di bawah blok itu, dia terlihat seperti ada barang yang sedang bergerak. Dia sebenarnya tidak pasti apakah yang dilihat kerana penglihatanya kabur (tanpa cermin mata). Rakan saya ini pun cuba mengecilkan mata dia. (Saya ini pun kadangkala kalau lupa bawa cermin mata ke sekolah, saya akan mengecilan mata saya untuk melihat papan tulis di hadapan).

Bila rakan saya buat demikian barulah dia tahu apakah benda itu tersebut. Nak tahu apa yang dia nampak? Dia nampak "Gula-Gula" sedang melompat menuju ke arahnya. Benda itu putih dan tembok di bawah blok itu pun putih. Oleh kerana penglihatannya tidak begitu jelas, benda itu seperti bersatu dengan benda-benda di sekeliling tembok blok itu. Bila dia dapat tahu "gula-gula" itu sedang menuju ke arahnya, dia pun lari dan naik ke atas rumahnya.

Apabila saya cuba bayangkan cerita yang rakan saya beritahu saya ini, saya rasa seram sejuk sahaja. Kerana mata saya ni pun hanya boleh pandang jarak dekat. Barang yang jauh, saya tidak dapat lihat dengan jelas. Jadi saya ini pun takut-takut jugalah kalau ternampak sesuatu benda jauh yang tidak jelas dan bila pandang betul-betul, benda itu mungkin adalah makhluk halus. Kisah ini berlaku di kawasan ..... MARSILING.

Terima Kasih,

VL : petikkan dari cerita mesteri jam 12@blog rasmi MJ12.
Read more ...

[MJ12] : Diganggu Saka...

Saya Ammar, mahu berkongsi tentang kejadian misteri yang pernah saya alami lebih kurang bila umur saya dua belas tahun. Kejadian aneh ini berlaku apabila saya bermalam di rumah pakcik saya yang bernama Cik Mal. Dia tinggal di daerah Admiralty. Saya dimintanya untuk tidur di bilik yang bersebelahan dengan biliknya. Saya pun cakap,"Cik Mal, Mar pergi tidur dulu, esok jangan lupa tau, kejut Ammar nak solat Subuh." Dia pun menganggukkan kepalanya.

Jadi saya dan Cik Mal pergi masuk bilik masing-masing dan mula melelapkan mata. Selepas saya membaca doa tidur, saya pun tidur. Lebih kurang dua lebih pagi, saya dikejutkan dengan suara perempuan yang mengerikan seolah-olah meminta tolong. Saya pada mulanya tidak rasa takut malah, curiga dan mahu selidik di manakah datangnya suara itu. Saya keluar dari bilik tidur dan gosok-gosok mata saya sambil mencari dari arah mana datangnya suara itu. Kemudian, saya lihat di tingkap balkoni ada seorang makcik tua sedang meminta tolong.

"Bagi aku masuk Kamal... Bagi aku masuukk..." Saya terkejut. Saya terus lari masuk ke dalam bilik dan menutup seluruh badan saya dengan selimut. Dalam bilik pun ade tingkap, tapi nasib baik sudah dikunci. Dia menghempas tingkap bilik macam nak pecah. Saya membaca surah-surah yang saya tahu sehingga Subuh hari. Bila matahari sudah betul-betul di atas, saya menyoal pakcik saya tentang kejadian itu. Dia cakap itu saka yang hampir diturunkan kepadanya daripada pakciknya tetapi dengan pertolongan Ustaz, rumahnya dipagar...

VL : petikkan dari cerita mesteri jam 12@blog rasmi MJ12.
Read more ...

[MJ12] : Batu Dapur Kubur Tercampak.

Assalamualaikum KC,

Cerita yang saya nak kongsi bersama adalah sangat pelik dan penuh dengan rasa misteri. Dua hari sebelum Hari Raya tahun ini, iaitu tanggal 28 haribulan Ogos 2011 sekitar pukul 4 petang, suami & bapa saya pergi menziarahi kubur sanak saudara di Pusara Abadi. Ketika di kubur arwah nenek suami saya, bapa saya membacakan Surah Yassin. Di sekeliling kawasan itu tiada pengunjung lain cuma mereka berdua bersama seorang penjaga kubur di situ.

Sedang bapa saya membacakan Yassin (dengan nada kuat), tiba2 ada bunyi kuat seperti ada benda tercampak. Selepas selesai membaca mereka pun pergi melihat di salah sebuah kubur berdekatan. Alangkah terperanjatnya apabila mereka melihat batu dapur (di bahagian nama) tercampak dari kubur itu. Yang peliknya ketika itu cuaca panas dan tak ada angin kencang. Penjaga di situ pun amat pelik kerana batu dapur di sekeliling kubur amat sukar pecah apalagi kalau tercampak kecuali kalau diperbuat dari kayu, itupun mungkin tak akan terjadi. Sampai sekarang menjadi tanda tanya apakah yang menyebabkan batu dapur itu boleh pecah dan tercampak.

Wassalam.

VL : petikkan dari cerita mesteri jam 12@blog rasmi MJ12.
Read more ...

[MJ12] : Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yang Menyeramkan.

Selamat malam KC,

Nama saya Hidayah. Saya ingin menceritakan pengalaman misteri yang saya alami sewaktu di rumah lama saya di daerah Woodlands. Ketika itu saya berumur 14 tahun. Di bawah blok saya ada pusat jagaan kanak-kanak. Setiap hari Sabtu dan Ahad pusat jagaan itu tutup. Setiap pagi Ahad, saya akan ke kedai untuk membeli suratkhabar untuk bapa saya. Untuk menuju ke kedai, saya harus lalu depan pusat jagaan itu dan setiap kali saya lalu, saya suka melihat ke dalamnya. Saya tak tahu kenapa tapi macam seronok kalau melihat ke dalam pusat jagaan itu.

Pada satu hari, saya jenguk ke dalam pusat jagaan kanak-kanak itu, saya ternampak seorang budak sedang duduk menyangkung, rambutnya panjang. Ketika itu saya tidak terfikir pun tentang makhluk halus. Saya mula hairan dan sambung melihat, budak itu mula pusingkan kepalanya dan melihat saya dengan matanya yang sangat merah. Saya mula rasa takut dan terus lari ke kedai, ketika berjalan pulang dari kedai, saya cuba jenguk sekali lagi tetapi budak itu sudah tiada. Sampai sekarang saya hairan, kalau budak itu orang, macamana dia masuk ke dalam sedangkan pintu pusat jagaan itu dikunci dengan mangga. Kalau hantu, pagi-pagi mana ada hantu? Itu sajalah pengalaman misteri saya.

Terima kasih...

 VL : petikkan dari cerita mesteri Jam 12@blog resmi MJ12.
Read more ...

[MJ12] : Teman Meninggal Dunia Melihat Pontianak

Assalamualaikum KC & pendengar Misteri Jam 12,

Nama saya Wak Nen. Saya ingin berkongsi dengan KC & juga para pendengar kisah tentang sahabat saya bernama Sulaiman yang kembali ke rahmatullah tiga tahun lalu. Sememangnya semua di kalangan orang Islam sedar bahawa ajal dan maut terletak di tangan Allah. Tolong ketengahkan kisah ini. Kisahnya begini:

Saya dan Sulaiman baru sahaja balik daripada chalet di Changi, berdekatan dengan SAF Chalet. Sekitar pukul dua pagi, Sulaiman memberitahu saya bahawa dia sudah mengantuk dan ingin pulang sebab kami berdua bertugas syif pagi. Sulaiman dan saya menetap di Sembawang jadi, tidak ada masalah untuk saya menghantarnya pulang. Dalam perjalanan keluar dari chalet tersebut, Sulaiman menepuk bahu saya dan membisik, "Nen, kau ada bau benda yang tak sepatutnya kita bau pada malam begini?" Saya menjawab, "Kau ni! Janganlah tegur-menegur! Kan dah malam begini!"

Saya pun menunggang motosikal saya di laluan jalan Netheravon Road berdekatan dengan Hospital Lama Changi. Mulut saya kumat-kamit membaca Ayat Kursi untuk melegakan perasaan saya yang takut. Tiba-tiba, Sulaiman menepuk bahu saya lagi dan bertanya, "Kau ada dengar tak Nen?" tanya Sulaiman dengan nada yang takut. Tiba-tiba kedengaran suara perempuan mengilai dari kiri terus ke kanan di atas kami. Kami berdua mendengar bunyi tersebut dan saya terus turunkan pacuan dan terus pecut.

Saya berhenti di simpang Cranwell Road dan Loyang Ave, lampu merah. Sedang kami menunggu lampu isyarat menukar kepada hijau, hati saya sudah berdegap-degup seperti hendak meletup. Sulaiman berkata pada saya, "Nen, kau pecut lepaskan lampu merah tu, takde kereta. Kita cabut dari sinilah. Aku takut ni..." Saya menjawab, "Man, baca apa yang kau tahu. Aku nak teruskan tapi kau tengok tu ada "roadblock" di depan. Kalau mereka nampak macamana?" Saya menjawab dengan nada yang takut.

Saya tidak berani menoleh kepala saya ke belakang untuk lihat kalau-kalau "Fatimah Rockers" mengikut kami. Saya pun menjeling ke cermin di sebelah kiri saya. Alangkah terperanjatnya, "Astaghfirullah!!!" saya mengucap. "Fatimah Rockers" berada di belakang kawan saya! Rambutnya gondrong di hadapan dan kain putih menyeliputi tubuhnya itu. Pandangan itu sungguh menyeramkan.

Apabila lampu isyarat bertukar kepada hijau, Sulaiman tiba-tiba jatuh dari motor. Saya pun berasa hairan. Motor belum lagi bergerak tapi kawan saya dah jatuh. Persaan takut tiba-tiba menjadi lebih takut apabila kawan saya terbaring di tengah jalan. Saya letakkan motor di tepi jalan dan cuba mengejutkan kawan saya. Apabila saya menyentuh lengan Sulaiman, badannya sejuk macam air batu.

Saya melihat sekeliling saya, "Fatimah Rockers" pun dah hilang. Saya menelefon ambulans dan ambulans memberitahu bahawa kawan saya sudah meninggal. Saya menjelaskan kepada paramedik dan juga pegawai polis yang berada di situ. Mereka cuma memberitahu saya bahawa saya perlu ke Balai Polis Bedok untuk membuat keterangan. Semoga roh si arwah dicucuri Allah dan ditempatkan dengan orang-orang yang soleh...

Assalamualaikum. Sekian terima kasih...

Wak Nen

VL : Petikkan dari Cerita Misteri Jam 12@blog resmi Mj12
Read more ...