Memaparkan catatan dengan label Media Permata Brunei. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Media Permata Brunei. Papar semua catatan

09 Oktober 2011

Jauhi khurafat

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Okt - "Jauhi perkara karut atau khurafat yang bertentangan dengan ajaran agama Islam," peringat Khatib kepada bakal jemaah haji negara ini dalam Khutbah Jumaat hari ini.

Perbuatan sedemikian bukan saja boleh menjejaskan ibadat haji malahan juga boleh menjejaskan akidah seseorang, tegas Khatib.

Khatib turut mengingatkan bakal jemaah haji supaya jangan sesekali mengabaikan ibadat wajib seperti menunaikan solat fardu lima waktu pada waktunya walaupun sedang sibuk dan penat melakukan ibadat dan manasik haji.

Menurut Khatib perkara di atas sangat penting jika bakal jemaah haji mahu mendapat haji mabrur, selain melaksanakan rukun dan wajib serta sunat haji dengan sempurna. Di samping itu mereka juga hendaklah memperbanyakkan amalan-amalan sunat seperti mengerjakan solat sunat Rawatib, membaca Al-Quran, memperbanyakkan tawaf sunat, berdoa, berzikir, berselawat, beriktikaf dan bersedekah, tambah Khatib.

"Apa yang penting mereka hendaklah juga memelihara diri dari melakukan sebarang perbuatan berdosa dengan memelihara lidah, menjaga pandangan mata, menjaga kelakuan dan tingkah laku."

Khatib juga mengingatkan bakal jemaah haji supaya dalam menghadap apa juga kesulitan dan rintangan ketika di Tanah Suci nanti menghadapinya dengan tabah, sabar dan reda serta memperbanyakkan doa dan zikir supaya hati menjadi tenang dan tenteram.

Peliharalah diri dari bersifat marah, mengeluh atau merungut dalam menghadapi apa jua kesukaran atau ketidakselesaan ketika berada di Tanah Suci nanti, nasihat Khatib lagi.

"Semua itu hendaklah diterima sebagai ujian dan dugaan yang perlu dihadapi dalam usaha untuk mendapatkan haji yang mabrur sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah Taala."

Ketika menyentuh perbelanjaan untuk mengerjakan ibadah haji, Khatib mengakui ia bukannya sedikit dan tidak semua orang mampu menyediakannya dengan sekali gus.

Oleh itu, Khatib menasihatkan umat Islam yang berkeinginan untuk menunaikan haji supaya menyimpan wang sedikit demi sedikit, bak kata pepatah "sikit-sikit lama-lama jadi bukit."

Lebih-lebih lagi pada masa ini terdapat institusi kewangan yang menawarkan kemudahan untuk menyimpan wang khas bagi tujuan menunaikan haji seperti Akaun Tekad Haji dan Akaun Tabung Haji, tambah Khatib.

"Insya Allah dengan niat yang ikhlas dan azam yang bersungguh-sungguh, maka pada suatu waktu nanti akan terkumpullah juga perbelanjaan yang diperlukan dan mencukupi bagi menunaikan Rukun Islam Kelima berkenaan."

Khatib juga memberi peringatan kepada mereka yang telah mencukupi syarat-syarat untuk mengerjakan haji dan mempunyai kemampuan, adalah sunat bagi mereka untuk tidak melambatkan naik haji sebelum datang perkara yang akan menghalanginya kerana Islam sangat menggalakkan umatnya bersegera dalam membuat sebarang amal kebajikan.

Renungkan Hadis Qudsi riwayat Ibnu Hibban yang kira-kira bermaksud, "Dari Abu Sa'id Al-Khudry Radiallahu Anh bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda di mana Allah Taala berfirman: Sesungguhnya seorang hamba Ku yang telah Aku kurniakan kesihatan pada tubuh badannya, telah Aku perluaskan kehidupan dengan melapangkan rezekinya, di mana jika lima tahun telah melewatinya sedangkan dia tidak datang kepada Ku bagi mengerjakan haji, maka terjauhlah dia dari kebaikan."


Read more ...

Penjenayah tegar kena 16 tahun, 10 rotan


BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt - Seorang lelaki warga tempatan, Adimodaamin Haji Moktal, 37, yang menyamar sebagai pegawai Penguat Kuasa Imigresen didapati bersalah bagi kesemua 5 pertuduhan yang dikenakan ke atasnya di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Tertuduh - bukan lagi muka baru di mahkamah, dan sebelum ini pernah disabitkan bagi kesalahan-kesalahan penculikan dan melakukan pencabulan pada 1996, Menyebabkan Kecederaan pada 2002 dan pada masa ini sedang menjalani hukuman penjara selama 4 tahun bagi 8 kesalahan mencuri kereta - telah didapati bersalah bagi kesalahan memeras ugut, penyamaran, menyebabkan jenayah kerugian, jenayah ugut dan rogol.

Menurut fakta kes, dalam kejadian yang berlaku pada November 2009 tertuduh berkenalan dengan seorang wanita Indonesia dan menyamar sebagai Pegawai Penguat Kuasa Imigresen.

Wanita terbabit telah meminta bantuan tertuduh untuk menghentikan hubungan sulit suaminya bersama dengan seorang wanita yang tinggal di pangsapuri sewa yang sama. Seperti yang dipersetujui, wanita itu menghubungi tertuduh untuk menyerbu pangsapuri tersebut apabila suaminya bersama-sama dengan teman wanitanya.

Bagaimana pun, menurut keterangan wanita itu dalam mahkamah, tertuduh bersama 2 sahabat menyerbu pangsapuri mereka pada sekitar 1:30 pagi pada 17 Oktober 2009 tanpa persetujuannya memandangkan suaminya bersamanya pada ketika itu.

Dia (wanita itu) memberitahu Mahkamah bahawa tertuduh mengenakan pas "Imigresen," jaket hitam dan lengkap dengan lampu suluh, papan klip dan kamera digital.

Menurut mangsa, tertuduh terus melakukan soal siasat ke atas pasangan itu berhubung kad pengenalan mereka, pasport dan juga hubungan sulit suaminya. Dia juga menyerbu bilik teman wanita tersebut, yang mengakibatkan mereka bersemuka sesama sendiri.

Mangsa juga memberitahu Mahkamah bahawa tertuduh mengancam untuk membawa suami wanita tersebut ke 'pejabat' bagi prosiding jenayah dan penghantaran pulang melainkan dia dibayar $1,000 bagi menyelesaikan masalah itu pada hari berikutnya. Tertuduh kemudian mengarahkan teman wanita itu pergi bersamanya ke 'pejabat' pada pagi esoknya bagi penyiasatan selanjutnya.

Takut dengan kuasanya, wanita berkenaan patuh tetapi sebaliknya dibawa oleh tertuduh ke keretanya menuju ke kawasan terpencil di Limau Manis.

Dia mengugutnya dengan prosiding jenayah dan penghantaran pulang dan kemudian merogolnya dan menghantarnya pulang.

Selepas 'serbuan' pagi itu, suami mangsa dengan segera melaporkan insiden itu kepada Biro Mencegah Rasuah (BMR). Apabila pegawai-pegawai dari BMR cuba untuk menahan tertuduh pada 2 November 2009, dia dengan sengaja merempuh dan merosakkan 2 buah kereta yang menghalangnya dan melarikan diri.

Tertuduh akhirnya berjaya ditahan dengan bantuan anggota-anggota Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Balai Polis Pusat pada 3 November 2009.

Dalam perbicaraan yang bermula pada Jun 2010, tertuduh menafikan semua dakwaan ke atasnya di hadapan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Brunei Darussalam, Dato Seri Paduka Haji Kifrawi bin Dato Paduka Haji Kifli. Pihak Pendakwa memanggil 24 orang saksi untuk membuktikan kesnya.

Dalam penghakimannya, Ketua Hakim percaya bahawa bukti-bukti yang diberikan oleh saksi Pendakwa dan tidak percaya dengan penafian tertuduh.

Setelah mengambil kira kesalahan-kesalahan tertuduh sebelumnya, Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 3 tahun dan 2 sebatan kerana kesalahan pemerasan, setahun bagi jenayah ugut, 3 tahun bagi penyamaran, setahun dan 2 sebatan kerana mengakibatkan jenayah kerosakan dan 12 tahun dan 6 sebatan bagi rogol.

Sebahagian hukuman itu dijalankan secara serentak yang membawa hukuman sehingga 16 tahun penjara dan 10 sebatan yang berkuat kuasa dari tarikh penahanannya.

Kes tersebut juga disiasat bersama oleh Biro Anti Rasuah dan Unit Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak dari Jabatan Penyiasatan Jenayah Pasukan Polis Diraja Brunei.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aldila Haji Mohd. Salleh.
Read more ...

06 Oktober 2011

Mentega Golden Churn syubhah

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Okt - Produk mentega Golden Churn Pure Creamery Butter keluaran Syarikat Ballantyne Food Pty Ltd dari New Zealand dihukumkan "syubhah" oleh Majlis Ugama Islam Negara Brunei Darussalam (MUIB).

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Pengiran Haji Abdul Rahman selaku yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam semasa memberi kenyataan pada sidang media di Kementerian Hal Ehwal Ugama hari ini.

Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad berkata; "MUIB memaklumkan kepada orang ramai khususnya umat Islam di negara ini bahawa MUIB pada mesyuaratnya yang diadakan pada 3 Oktober 2011 telah mempertimbangkan perkara mengenai produk mentega berkenaan dan MUIB telah mengambil beberapa keputusan.

"Keputusan-keputusan itu diambil adalah berdasarkan fatwa Mufti Kerajaan Siri Fatwa Bil: (30/2011) bertarikh 25 Syawal 1432 bersamaan 24 September 2011 dan berdasarkan maklumat baru dan perkembangan semasa mengenai produk itu, maka MUIB bersetuju merumuskan kedudukan produk mentega itu hukumnya syubhah mengikut hukum syarak."

Beliau menegaskan, perkara syubhah itu hendaklah dijauhi dalam makna menghendaki supaya umat Islam meninggalkan benda yang meragukan kehalalannya untuk menjaga kesucian agama dan kehormatan diri.

Sehubungan itu Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad menasihatkan umat Islam di negara ini supaya meninggalkan dan menjauhi perkara syubhah itu.

Selain itu, MUIB juga meminta kerjasama pihak terbabit supaya menarik balik semua produk mentega Golden Churn berkenaan dari pasaran di negara ini dan produk itu juga tidak dibenarkan dibawa masuk ke negara ini sehingga mendapat Sijil Halal dan Permit Halal Brunei mengikut prosedur yang ditetapkan.

Sementara berdasarkan keputusan MUIB, umat Islam di negara ini juga dinasihatkan untuk tidak menggunakan produk mentega Golden Churn berkenaan disebabkan oleh kedudukannya yang syubhah.

"Kedudukan yang syubhah dalam hukum syarak menyuruh menjauhi syubhah iaitu menghendaki supaya meninggalkan benda yang meragukan kehalalannya," tegas Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad lagi.

 
Read more ...

Perbuatan santet??






Wartawan Media Permata sedikit tergamam melihat boneka hitam di pangkal tiang lampu isyarat sebuah persimpangan di Mukim Sengkurong kelmarin. - Gambar oleh Yuddin HB

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt - Menggemparkan! Apabila Media Permata menjumpai sebuah boneka hitam legam sebesar janin seperti lepas dibakar berbentuk manusia berlumuran darah, ditusuk dengan 39 batang jarum, diletakkan di atas bekas putih segi empat tepat tersadai di kaki tiang lampu isyarat di sebuah persimpangan di Mukim Sengkurong pagi ini.


Sebaik menerima maklumat daripada orang ramai, Media Permata segera pergi ke tempat dimaksudkan dan terpaksa berlegar seketika mencari tempat patung itu diletakkan.

Bagaimanapun, seketika kemudian tatkala menoleh ke satu arah di pangkal tiang lampu isyarat di tengah jalan raya, wartawan Media Permata yang berada di situ tergamam melihat terdapat sebuah bekas plastik putih yang di dalamnya terletak sebuah boneka hitam yang agak 'menyeramkan' itu.

Menurut seorang pakar tempatan dalam bidang berkaitan gangguan makhluk halus, Ustaz Dr Haji Mohammad Adi Zaky Haji Matasim, boneka itu merupakan barang sihir jenis "santet" yang bertujuan bagi menyakiti orang yang disasarkan sama ada sekadar bisa-bisa di badan ataupun sakit seperti benar-benar ditusuk benda tajam di 39 tempat sepertimana yang ditusuk kepada boneka itu.

Sihir jenis ini biasanya diupahkan kepada pengamal ilmu hitam dari Indonesia, katanya sambil menjelaskan tujuan orang yang mengupahkan itu sememangnya benar-benar untuk menyakiti orang yang ditujunya memandangkan jumlah tusukan jarum yang digunakan sangat banyak.

Ditanya sama ada ilmu sihir jenis santet itu boleh membunuh, beliau berkata, bergantung pada kekuatan sihir berkenaan, kadang-kadang untuk sakit saja dan kadang-kadang untuk membunuh secara perlahan.

Beliau kemudiannya menjelaskan, melihat kepada tempat boneka itu diletakkan, berkemungkinan besar orang yang ditujui itu menggunakan jalan raya di sana sebagai jalan penghubung hariannya.

Menurut Ustaz Dr Haji Mohammad Adi Zaky lagi, sejurus orang yang dihajati itu melintasi boneka itu, sihir itu pun mengenai sasarannya.

Apabila ditanyakan petua bagi membatalkan sihir berkenaan, beliau mengungsikan dua kaedah mujarab dan yang paling mudah antara keduanya adalah dengan membuang boneka itu ke dalam air kumbahan (air kotor bekas basuhan) yang mengalir.

Kaedah kedua adalah dengan memukul boneka itu menggunakan penyapu lidi sebanyak 7 kali, namun orang yang melakukan pukulan itu perlu berhati-hati dengan membaca ayat pendinding diri terlebih dulu, ditakuti kena tempias sihir itu, katanya.

Ketika melaksanakan kedua-dua kaedah itu, orang yang melakukannya perlulah mengatakan ayat seperti "Balik lah ke tempat asalmu", terang Ustaz Dr Haji Mohammad Adi Zaky dalam temu bual bersama Media Permata melalui telefon petang ini.

Beliau juga mengingatkan kepada mereka yang hendak membuang boneka itu supaya jangan memegang boneka itu secara terus tetapi mestilah berlapik seperti memakai sarung tangan sebagai langkah berjaga-jaga, kerana di dalam boneka itu memang masih ada penunggunya (makhluk halus).

Seseorang itu boleh tahu bahawa dia telah ketempiasan ilmu sihir dari boneka itu apabila dia tiba-tiba merasa demam, pening-pening ataupun pitam dan pada waktu malam pula bermimpi buruk, ujarnya.
Oleh yang demikian orang yang ketempiasan ilmu sihir berkenaan hendaklah minum air zam-zam dengan niat dibersihkan daripada segala sihir, sambil membaca "Lahaula Wala Quwwata Illa Billahil 'Aliyyil Azim" berulang kali, sarannya.

Orang itu boleh juga menambah kaedah rawatannya dengan membasuh mukanya ataupun mencampurkan air zamzam dengan air mandinya, dengan niat dan bacaan yang sama, tambahnya.

Apabila ditanyakan apakah beliau pernah berhadapan dengan orang yang terkena ilmu sihir santet di negara ini, beliau menyatakan beliau sering dipanggil untuk mengubati orang yang terkena santet, tetapi prinsip beliau adalah mengajar dan memberikan panduan kepada mangsa itu untuk mengubati dirinya sendiri.

Read more ...