Memaparkan catatan dengan label Ghost Hunted. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ghost Hunted. Papar semua catatan

10 Jun 2011

Gambar Entiti Aneh Dirakamkan (Kes Paranormal)

Menurut bekas polis, Mohd Fauzi Bidin, 60 tahun, banglo tersergam di Bukit Darah, Sungai Buloh, Selangor dianggarkan berusia lebih 60 tahun.


Jam 1 pagi, Fauzi bersama saya, Rahmat Mokhtar, Razali Harun, Adnan Abdullah dan Azhar Ramli memasuki pekarangan banglo pernah dihuni keluarga warga Britain dan Sri Langka terbabit. 


Sebelum ini Azhar berkongsi kejadian aneh dialaminya, Sewaktu menghampiri pintu utama banglo, hati mula berdebar. Suhu di sekitar agak panas, IR Thermometer menunjukkan bacaan 80 Fahrenheit. 


Kami membuat keputusan bergerak ke belakang banglo untuk memasang kamera web. Saya perhatikan, halaman banglo dijadikan tapak semaian pelbagai jenis anak pokok.


Dalam kegelapan malam, Rahmat berjalan mendahului kami tiba-tiba berlari meluru ke tapak semaian dan merakamkan gambar menggunakan kamera digitalnya.


Lihat gambar pokok rendang menghijau, saya rakamkan di belakang banglo sama. Barangkali pohon itu juga seusia banglo. Banglo dikatakan pernah menjadi saksi kejadian wanita berbangsa Inggeris dilaporkan mengantung diri.


Biarpun berasa seram tetapi tiada ahli kumpulan bersuara. Saya dan Rahmat kemudian pantas memasang 2 kamera web menggunakan komputer riba kami bawa. Lensa kamera kami halakan ke arah pokok terbabit.


 "Kalau ada benda lalu, InsyaAllah web cam dapat capture," bisik Rahmat. 

Menurut Fauzi, dia pernah beberapa kali bertembung kelibat lembaga hitam di banglo itu. Namun melihat reaksinya, saya tahu bapa kepada 9 anak dan datuk kepada 17 cucu itu, lelaki berani. 


Biarpun berusia puluhan tahun, tiang utama banglo masih kelihatan teguh.  Jika tiang terbabit mampu bercakap, pasti banyak kisah suka, duka dan mengerikan mampu dikongsikan bersama kami.


Jam 1.05 pagi, kami memasuki banglo melalui pintu utama dan kemudian menaiki tangga ke tingkat atas.  Gambar saya rakam di bawah menceritakan rentetan tinjauan kami lakukan. 


"Ini lorong ke bilik tempat perempuan tu menggantung diri," kata Azhar.


Hati saya tidak berdebar cuma perasaan cuak mengusik jiwa kerana tidak mampu menduga apa bakal dilihat dan ditemui di bilik terbabit. Mujur, sejak awal pertemuan saya membuat perjanjian dengan Adnan.

"Bang, saya penakut. Janji dengan saya, apa terjadi, abang akan tetap berjalan di belakang saya," pinta saya.


Saya bernasib baik, Adnan, 50 tahun, bersetuju memenuhi permintaan itu. Dia kenalan saya sejak  menyertai operasi membanteras pendatang tanpa izin bersama pasukan RELA di Damansara suatu ketika dahulu.

Kami kemudian memasuki bilik bertentangan bilik pernah dihuni wanita Inggeris terbabit. Masih terdapat beberapa perabot di dalamnya.  

"Sebelum awak ternampak kelibat perempuan tu di tingkap bilik depan, awak kata rumah ini terang-benderang macam berlampu, kan?," soal saya kepada Azhar.

"Ya, sekarang baru kita semua nampak, sebenarnya bekalan elektrik memang tak ada, plug semua dah tanggal," balasnya.


Sewaktu meninjau bahagian belakang rumah dari tingkat satu, saya rakamkan gambar kolam renang terletak kurang 50 meter dari banglo terbabit.


"Mungkin di situlah perempuan tu mandi suatu ketika dahulu," kata Azhar. 

Hampir jam 1.30 pagi, Rahmat membuat keputusan memindahkan kamera web ke bilik didakwa terjadinya kes membunuh diri itu.


Kamera Rahmat diletakkan di lorong manakala kamera saya ditempatkan di dalam bilik berhampiran pintu.


"Di tingkap inilah saya ternampak perempuan memakai baju putih, berambut panjang dengan beg tergantung di belakang tu," kata Azhar. 


Kami kemudian segera beredar keluar setelah memastikan 2 kamera terbabit beroperasi.


Kurang setengah jam berada di luar pagar banglo, tiba-tiba Rahmat bersuara.

"Bang, ada kawan di Facebook komen ternampak gambar entiti di dalam gambar saya posted tadi," katanya.

Berikut gambar dirakam menggunakan telefon bimbit berjenama Black Berry Torch milik pengkaji paranormal itu.


Untuk tujuan perbandingan, berikut lokasi sama gambar terbabit dirakamkan.


Jam 2.40 pagi kami kembali semula ke bilik kamera diletakkan. Hasilnya? Kamera saya gagal merakamkan sebarang visual. Malah lebih menghairankan, fail rakaman juga didapati tidak wujud. Kamera milik Rahmat? Hasil rakaman, jika ada, belum lagi diprebiu setakat tampalan ini selesai ditulis.


Berikut pesanan ringkas dihantar Rahmat kepada saya, pada jam 4.18 pagi tadi ...

'Video saya juga hilang'

Apapun, terima kasih kepada semua kerana sudi menempuh satu lagi pengalaman baru.


VL : Nurkilan dari saudara Mazidul Akmal Sidik
Read more ...

05 Jun 2011

19 Tahun Selepas Pembunuhan Kejam Di Banglo

(VL : di petik dari blog Mazidul Akmal Sidik...untuk tatapan bersama)
Dilaporkan, 23 April 1992, warganegara Amerika Syarikat berketurunan India, Arjun Talwar, 7, abangnya, Kabir, 11 dan pembantu rumah warganegara India, Natalia Fernandes, 30 tahun dibunuh di rumah banglo di Jalan Turi, Taman Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur.

Pengawal keselamatan, Ariffin Agas diberkas, disiasat dan kemudian didapati bersalah membunuh 3 mangsa terbabit lalu dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Pada waktu kejadian, pesalah berusia 25 tahun. 

Menurut laporan akhbar, mayat mangsa ditemui di dalam lubang takungan najis di belakang rumah mereka diami.


Pelbagai versi kejadian aneh serta menakutkan didakwa berlaku di rumah sama. Sebilangan saksi mendakwa pernah melihat kelibat kedua kanak-kanak terbabit berdiri di sekitar pintu pagar utama banglo sebelum ini.


Jam 2.30 pagi tadi, saya, Rahmat Mokhtar, Muhamad Zaki Muhamad dan 4 rakan lain meninjau banglo itu. Kami dapati, dinding di sekitar pintu utama rumah dicemari pelbagai grafiti.


"Bang, tolong ambil gambar," pinta Rahmat.

Saya menunaikan permintaanya dan Zaki.


Untuk rekod, malangnya setakat ini belum lagi ada syarikat menawarkan pekerjaan sebagai model atau duta produk kepada mereka berdua. 

"Berhati-hati jalan, banyak kaca," ujar Rahmat.


Keadaan di dalam banglo 3 tingkat itu bersepah dan berhabuk. Majoriti kelengkapan rumah dan perabot mulai lapuk atau dipercayai dicuri penagih dadah, menjadikan rumah terbabit sebagai sarang untuk melepaskan gian. 




Hampir jam 3 pagi, tiba-tiba bau wangi menusuk hidung sewaktu saya berlegar-legar di tingkat bawah rumah. Bagaimanapun, membuat keputusan hanya mendiamkan diri, mengikut pesan orang tua.

"Jangan tegur," bisik rakan berdiri di sebelah.

Terfikir, barangkali itu hanya bau bunga liar di kawasan sekitar selepas hujan turun hanya kira-kira 15 minit sebaik kami tiba di luar banglo. Saya perhatikan secara lebih teliti, tiada pokok bunga, hanya pohon berteras besar dililiti tumbuhan penumpang banyak kelihatan. 


"Ada orang kata, polis pernah menggali lubang tu suatu ketika dulu," ujar Rahmat.

Saya percaya itu lubang takungan najis, lokasi 3 mayat ditemui kira-kira 19 tahun lalu. Berikut antara petikan akhbar diterbitkan NSTP pada Julai 1992. 

'KUALA LUMPUR: Dua kanak-kanak adik beradik rakyat Amerika Syarikat keturunan India dan seorang wanita dibunuh dengan kejam di rumah banglomereka di Jalan Turi, dekat Jalan Taman  Pantai, di sini, malam tadi.  Mayat tiga mangsa pembunuhan itu ditemui dalam lubang najis sedalam lima meter berhampiran banglo berkenaan kira-kira jam 12 malam'


Memerhatikan lubang itu dari jarak dekat, bulu roma saya tiba-tiba meremang. Terbayang, betapa ngeri keadaan semua mayat mangsa disumbat tanpa perasaan perikemanusiaan di dalam lubang gelap itu.

Lubang terbabit dilapor ditunjukkan Ariffin secara sukarela kepada saksi pendakwa, Kopral Majid Jaafar.

Di tingkat atas, saya rakamkan gambar bilik, dipercayai pernah dihuni pembantu rumah banglo terbabit.


"Macam mana tahu, ini bilik maid?"

Terpancul soalan itu.

"Kalau kita tengok, hanya tandas ini jenis cangkung, lain jenis tandas duduk," respon rakan sekumpulan. 

Jika benar dakwaannya, tidak terfikir di banglo terbabit wujud 'kasta' di kalangan penghuninya. Lokasi tandas dimaksudkan, di belakang Rahmat, berbaju merah.


Berikut antara gambar saya rakamkan di tangga ke tingkap atas banglo. 


Melihat tarikh akbar, dipercayai banglo ini masih berpenghuni 3 tahun selepas kejadian pembunuhan kejam berlaku.


Berikut gambar beberapa barangan lain saya rakamkan.


Berderau darah buat seketika sewaktu membelek helaian buku latihan berikut. 


Kes pembunuhan dilaporkan berlaku pada tahun 1992, lihat tarikh dicatatkan pelajar di bahagian atas kanan muka surat buku, 5 tahun sebelum kejadian.


Sewaktu menaiki tangga untuk beredar keluar dari rumah terbabit pada jam 3.30 pagi, saya terdengar bunyi tapak kaki menaiki tangga bagai mengekori saya dari belakang.


Lazimnya, saya tidak gemar mengikut kata hati untuk melihat kebelakang, malam tadi keputusan saya berbeza.


Saya dapati tiada sesiapa di belakang kerana semua rakan berjalan mendahului saya.

19 tahun selepas kejadian pembunuhan ngeri dilaporkan berlaku, saya percayai pelbagai peristiwa pahit, manis dan barangkali mengerikan dilalui penyewa banglo. 

Semua peristiwa itu kekal diabadikan di dalam lipatan sejarah. Hanya mereka berpengalaman menetap di banglo terbabit mengetahui maklumat lebih tepat berhubung kejadian mereka tempuh sebelum ini.


Read more ...