Memaparkan catatan dengan label Lagenda. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Lagenda. Papar semua catatan

21 September 2011

Gunung Santubong.

Gunung Santubong


Gunung Santubong yang terletak di Sarawak,malaysia merupakan sebuah daripada gunung legenda yang terkenal di Sarawak. Ia terletak 35 km di utara Bandar Kuching. Setinggi sekitar 810 meter, gunung ini terletak di sebuah semenanjung kecil yang dinamakan semenanjung Buntal yang popular kerana aktiviti-aktiviti pelancongannya.
Mengikut sejarahnya, pada abad ke-14 Masihi pusat komersial pentadbiran negeri Sarawak ialah Santubong di mana kuala Santubong menjadi pusat kunjungan para saudagar dari Timur dan Barat untuk berniaga. Penemuan pelbagai artifak di kawasan sekitarnya menguatkan lagi dakwaan bahawa terdapat kesan langsung perdagangan di Santubong kepada penyebaran islam dan hindu  di Sarawak.

Puteri Santubong merupakan cerita rakyat / sastera rakyat negeri Sarawak yang meniti dari bibir ke bibir. Ia diperturunkan dari generasi ke generasi kerana ada unsur-unsur pengajarannya di dalamnya. Selain itu untuk memberi 'logik' kisah kejadian dan kemunculan sesuatu perkara. Oleh kerana ia merupakan cerita lisan iaitu cerita mulut yang diceritakan dari nenek, ibu bapa kepada kepada cucu dan anak-anak kecil, ceritanya sentiasa berubah, berkurang atau bertambah untuk menyedapkan lagi cerita.
Versi 1

Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang adalah dua puteri Sultan Brunei yang telah melarikan diri bersama tujuh orang saudara lelaki mereka selepas ayahanda mereka, Sultan Brunei dibunuh di dalam satu komplot rampasan kuasa. Memandangkan tujuh putera ini ingin melarikan diri ke Tanah Melayu, mereka perlu menyeberangi Laut China Selatan maka mereka telah bersepakat meninggalkan kedua-dua saudara mereka di Bukit Santubong.
 
Penduduk kampung berasa hairan dengan kehadiran kedua-dua puteri tersebut kerana mereka tidak pernah melihat kedua-duanya ditambah pula dengan kecantikan mereka yang luar biasa. Mereka dianggap sebagai puteri yang turun dari kayangan. Penduduk kampung dan puteri-puteri ini hidup aman damai sehinggalah kedua-dua mereka bergaduh dan berbunuh kerana menganggap seorang lebih cantik dari seorang lagi. Oleh itu, timbullah legenda Gunung Santubong dan Gunung Sejinjang.
 
Kembali kepada tujuh bersaudara itu pula, mereka telah meneruskan pelayaran mereka sehinggalah mereka sampai di Pulau Pinang menaiki burung bayan. Setelah mendarat mereka mencari tempat tinggal. Semasa di Pulau Pinang burung bayan yang ditunggang telah terlepas maka dari situlah Bayan Lepas di Pulau Pinang mendapat namanya. Difahamkan carta organisasi salasilah keturunan ini masih wujud di sana.

Versi 2

Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang asalnya dari kayangan merupakan dua orang puteri sepupu. Ayahanda mereka Dewata Mulia Raja Kayangan telah menitahkan agar mereka turun ke bumi untuk menyelesaikan pertelingkahan dua kampung. Sebelum turun ke bumi, kedua-dua puteri telah dipesan agar jangan berlaku pergaduhan antara mereka yang mana kesannya mereka akan terkena sumpahan dan kekallah mereka di bumi.
Ketika kedua-dua puteri tiba ke bumi, penduduk kedua-dua Kampung Pantai Biru dan Pasir Kuning sungguh hairan melihat cahaya terang laksana mentari menyusuri kampung mereka. Kejelitaan dan sifat kewanitaan amat terserlah pada kedua-dua puteri ini.
 
Puteri Santubong telah menetap di kampung Pantai Biru dan menurunkan kemahiran menenun kain kepada orang-orang kampung di situ manakala Puteri Sejinjang pula mengajar mengasingkan sekam padi dengan aluk kepada orang-orang kampung Pasir Kuning. Dengan tunjuk ajar kedua-dua puteri ini, pertelingkahan pertukaran barang-barang yang berlaku selama ini telah terhapus dan orang-orang kampung hidup aman dan damai. Kain tenunan Puteri Santubong begitu unik dan dijual dengan harga tinggi manakala tanaman padi Puteri Sejinjang begitu subur dan menjadi. Malangnya, kemakmuran yang dikecapi ini tidak berkekalan.
 
Kehadiran Putera Serapi dari Matang untuk melihat kehebatan kedua-dua kampung serta kecantikan dan kejelitaan kedua-dua puteri telah menimbulkan perasaan iri hati dan cemburu di hati kedua-dua puteri. Ini adalah kerana kedua-dua mereka telah jatuh hati dengan ketampanan, kewibawaan dan keperkasaan Putera Serapi yang mana telah jatuh hati kepada kejelitaan dan keayuan kedua-dua puteri juga.
 
Sementara itu, Panglima Putih berasa amat kecewa kerana pinangannya ditolak Puteri Sejinjang. Kampung Pasir Putih dibakar oleh Sang Bualang menyebabkan Puteri Sejinjang melarikan diri ke istana Puteri Santubong.
Mereka sering berjumpa dan memadu kasih. Putera Serapi telah menyatakan hasrat untuk memperisterikan kedua-dua puteri tetapi kedua-duanya tidak bersetuju kerana beranggapan masing-masing lebih jelita dan pandai. Perasaan benci,dendam dan iri hati makin menebal di dalam hati kedua-dua puteri demi untuk menawan hati Putera Serapi.
 
Mereka menggunakan kuasa kesaktian yang ada dan telah bergaduh berhari-hari lamanya untuk mempertahankan kejelitaan dan kemahiran masing-masing. Dalam kemarahan, Puteri Sejinjang telah mencapai aluk lalu dihayun dan terkena pipi Puteri Santubong. Jika diteliti lekukan ini dapat dilihat di Gunung Santubong sehingga kini. Melalui kudrat dan kekuatan yang terakhir, Puteri Santubong telah menikam belida di kepala Puteri Sejinjang menyebabkan otaknya bersepai lalu tersungkur kerana kesakitan. Secara tiba-tiba kilat sabung-menyabung disertai guruh berdentum. Cahaya terang dari langit kelihatan lalu mengangkat kedua-dua puteri ke kayangan.
 
Sumpahan kayangan berkekalan menjadikan Puteri Santubong sebagai gunung dan Puteri Sejinjang sebagai Pulau Kera .Putera Serapi yang kecewa terus membawa diri ke Gunung Serapi.Jika diteliti dan diamati, gunung santubong kelihatan seperti seorang wanita sedang berbaring dengan rambut panjangnya yang terurai.Akibat pukulan belida yang amat kuat otak Puteri Sejinjang telah bersepai dan berselerakan menjadi Pulau Kera,Pulau Talang-talang,Pulau Satang,Pulau Lakir dan beberapa pulau kecil yang berhampiran
Read more ...

16 September 2011

Sejarah : Nama - nama Sultan Brunei.

Sultan-Sultan Brunei

Sultan Muhammad Shah (TM 1363 - 1402)
Sultan Islam Brunei yang pertama (sebelumnya terkenal dengan nama Awang Alak Betatar).  Setelah berkahwin pada TM 1368 dengan Puteri Dayang Pingai iaitu Puteri Johor atau Temasek (Singapura Tua) Baginda dikenali dengan nama Sultan Muhammad Shah. Pada TM 1371, menghantar utusan ke China.  Dalam catatan China Baginda disebut Ma–ha–mo–sha. Puteri Baginda, Puteri Ratna Dewi berkahwin dengan adinda kerabat Maharaja China iaitu, Ong Sum Ping (Pengiran Maharaja Lela).  Baginda lindung pada TM 1402.
 
Sultan Abdul Majid Hasan (TM 1402 - 1408)
TM 1402, naik takhta. Tidak pernah disebut dalam Salasilah Raja-Raja Brunei tetapi ada dicatatkan dalam riwayat China. TM 1406, menghantar utusan ke China, orang Cina menyebut baginda Ma-na-je-ka-na. TM 1408, berangkat ke China dan lindung di sana ketika berusia 28 tahun, meninggalkan putera bernama Hsia-wang berusia 4 tahun.
 
Sultan Ahmad (TM 1408 - 1425)
Baginda naik takhta pada TM 1408, sebelum itu terkenal dengan nama Pateh Berbai. Pengiran Bendahara yang pertama bagi Brunei. Baginda disebut dengan gelaran Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara. Berkahwin dengan adinda Ong Sum Ping (Pengiran Maharaja Lela). Menjadi mertua kepada Sultan Sharif ‘Ali.  Baginda lindung pada tahun TM 1425 dan digantikan oleh menantu Baginda, Sultan Sharif ‘Ali.
 
Sultan Sharif Ali (TM 1425 - 1432)
Sultan Sharif ‘Ali ibnu Sharif ‘Ajlan naik  takhta  pada TM 1425 bagi menggantikan mertua Baginda, Sultan Ahmad yang tidak mempunyai waris (putera).  Baginda dijunjung untuk menjadi Sultan atas persetujuan pembesar-pembesar negara dan rakyat Brunei.  Baginda keturunan Arab, berasal dari Taif.  ‘Pedang Si Bongkok’ yang dibawa Baginda bersama ke Brunei itu membuktikan Baginda pernah menjadi Amir Makkah iaitu Al–Amir Sharif ‘Ali bin Sharif ‘Ajlan bin Sharif Rumaithah bin Sharif Muhammad Abu Numaie Al-Awwal, mempunyai jurai keturunan daripada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam melalui cucunda Baginda, Sayidina Hasan. Memandangkan jasa dan kearifan Baginda menyebarkan ajaran Islam maka Baginda dijodohkan oleh Sultan Ahmad dengan puteri  Baginda, Puteri Ratna Kesuma.  Baginda lindung pada TM 1432 dan digantikan oleh putera Baginda, Pengiran Muda Besar Sulaiman.
 
Sultan Sulaiman (TM 1432 - 1485)
Baginda naik takhta pada TM 1432 dan turun takhta pada TM 1485.  Baginda lindung pada TM 1511 dan digantikan oleh putera Baginda, Pengiran Muda Bolkiah.
 
Sultan Bolkiah (TM 1485 - 1524)
Baginda naik takhta pada TM 1485. TM 1521, rombongan Ferdinand Magellan dan Antonio Pigafetta melawat Brunei. Pada zaman Baginda, pemerintahan Brunei bukan sahaja meliputi keseluruhan Pulau Borneo seperti Sambas, Tanjungpura, Kota Waringin, Banjarmasin, Pasir, Kutai, Bolongan dan lain–lain bahkan Pulau–Pulau Suluk, Palawan, Keramian hingga Saludang (Luzon) iaitu daerah-daerah yang sekarang dikenali dengan nama Filipina. Zaman pemerintahan Baginda ini dikatakan sebagai zaman keemasan Empayar Brunei. Permaisuri Baginda yang termasyhur bernama Puteri Laila Menchanai. Baginda lindung pada TM 1524, dikatakan kerana cucukan jarum emas yang digunakan oleh Puteri Laila Menchanai semasa menyulam pada waktu Baginda sedang beradu dipangkuan permaisuri itu.  Baginda digantikan oleh putera Baginda, Pengiran Muda Tengah ‘Abdul Kahar.
 
Sultan Abdul Kahar (TM 1524 - 1530)
Baginda naik takhta pada TM 1524. Pada TM 1521, rombongan Ferdinand Magellan dan Antonio Pigafetta telah melawat Brunei semasa Baginda menjadi Pemangku Sultan. TM 1526 seorang Portugis bernama George de Menezes datang ke Brunei bertujuan hendak menjalankan perniagaan di samping mencari peliringan hendak menakluki Brunei. Tetapi memandangkan kekuatan Brunei ketika itu padu, dijangka agak sukar hendak dikalahkan maka maksud berniaga sahaja yang diteruskan.  Sehubungan itu dia telah berjaya membuat perjanjian persahabatan dan perdagangan dengan Sultan Brunei. Sejak itulah Portugis mengimport lada hitam, sagu, ikan, beras, emas dan barang makanan yang lain dari Brunei ke Melaka; di samping menggunakan pelabuhan dan perairan, Brunei menjadi tempat persinggahan dan lalu lintas perkapalan mereka dari Cochin ke Melaka, dari Melaka ke Maluku dan sebaliknya.  TM 1530, seorang pegawai Portugis lain bernama Goncalo Pereira telah datang juga ke Brunei untuk memerhati keadaan Brunei sambil berniaga tetapi perniagaannya tidak berkembang dan akhirnya lenyap. Walau bagaimanapun ulama–ulama Islam masih ramai datang ke Brunei. Baginda turun takhta pada TM 1530 bergelar Paduka Seri Begawan Sultan ‘Abdul Kahar. Baginda lindung pada TM 1578, dan digantikan oleh putera kakanda Baginda, Pengiran Anak Chuchu Besar Saiful Besar.
 
Sultan Saiful Rizal (TM 1533 - 1581)
Baginda naik takhta pada TM 1533. Pada TM 1578, Brunei telah diserang oleh Sepanyol di Manila.  Serangan itu termasyhur dengan sebutan ‘Perang Kastila’ tetapi berjaya diundurkan oleh Pengiran Bendahara Sakam bersama Orang Kaya Harimau Padang, 100 orang pahlawan terbilang dan rakyat yang taat kepada Sultan. Pada tahun ini juga Masjid Jame’ Brunei dibakar oleh Sepanyol. Baginda lindung pada TM 1581 dan digantikan oleh putera Baginda, Pengiran Muda Besar Shah Brunei.
 
Sultan Shah Brunei (TM 1581 - 1582)
Baginda naik takhta pada TM 1581. Tidak mempunyai putera. Setelah Baginda lindung, pada TM 1582, diganti oleh adinda Baginda, Pengiran Muda Tengah Muhammad Hasan
 
Sultan Muhammad Hasan (TM 1582 - 1598)
Baginda naik takhta pada TM 1582.  Zaman Baginda diadakan gelaran ‘Pengiran Di-Gadong’ dan ‘Pengiran Pemancha’. Menitahkan Pehin Orang Kaya Di-Gadong Seri Lela melanggar Milau (Sarawak). Baginda lindung pada TM 1598 dan digantikan oleh putera Baginda, Pengiran Muda Besar ‘Abdul Jalilul ‘Akbar.
 
Sultan Abdul Jalilul Akbar (TM 1598 - 1659)
Baginda naik takhta pada TM 1598. Pada masa menaiki takhta, Baginda dibantu oleh ayahanda saudara Baginda, Pengiran Di–Gadong Besar Osman. Pada TM 1599, mengadakan perhubungan dengan Sepanyol di Manila. TM 1600, Oliver Van Noort, peniaga Belanda datang ke Brunei. Baginda lindung pada tahun TM 1659.
 
Sultan Abdul Jalilul Jabbar (TM 1669 - 1660)
Baginda naik takhta pada 1659. Baginda berputerakan Pengiran Temenggong, Shamsuddin, Raja Gayoh. Baginda lindung pada tahun 1660.
 
Sultan Haji Muhammad Ali (TM 1660 - 1661)
Baginda naik takhta pada 1660.  Takhta kerajaan Baginda direbut oleh Pengiran Bendahara ‘Abdul Hakkul Mubin kerana anaknya ditikam oleh Pengiran Muda Bongsu yang kalah bersabung ayam. Baginda lindung pada 14 Rabiulawal 1072 bersamaan 6 November 1661.
 
Sultan Abdul Hakkul Mubin (TM 1661 - 1673)
Baginda naik takhta pada 1661. Baginda merebut takhta kerajaan daripada Sultan Haji Muhammad ‘Ali, kemudian dibela oleh Pengiran Muda Muhyiddin sehingga terjadi perang saudara selama 12 tahun. Baginda lindung pada tahun 1673.
 
Sultan Muhyiddin (TM 1673 - 1690)
Baginda naik takhta pada tahun 1673. Mengambil alih takhta kerajaan daripada Sultan ‘Abdul Hakkul Mubin. Tahun 1685, berjaya mengatasi tipu helah angkatan Sepanyol yang berpura-pura datang melawat Brunei. Zaman Baginda, Datu Dakula datang ke Brunei untuk membela ayahandanya tetapi dapat diselesaikan oleh kekandanya, Pengiran Bendahara Pengiran Muda Amir ibni Sultan ‘Abdul Hakkul Mubin.  Baginda lindung pada tahun 1690.
 
Sultan Nasruddin (TM 1690 - 1710)
Baginda naik takhta pada tahun 1690.  Pada masa zaman Baginda, Dato Godam datang ke Brunei. Baginda lindung pada tahun 1710.
 
Sultan Husin Kamaluddin (TM 1710 - 1730) (TM 1737 - 1740)
Baginda naik takhta pada tahun 1710.  Dua kali naik takhta dan akhirnya bersemayam di Luba. Pada masa zaman Baginda, negara makmur dan rezeki mudah diperolehi. Pernah mengeluarkan mata wang disebut ‘pitis’.  Baginda lindung pada tahun 1770.
 
Sultan Muhammad Alauddin (TM 1730 - 1737)
Baginda naik takhta pada tahun 1730.  Pernah mengeluarkan mata wang disebut ‘pitis’.  Baginda lindung pada tahun 1737.
 
Sultan Omar Ali Saifuddien I (TM 1740-1795)
Baginda naik takhta pada tahun 1740. Pada tahun 1775, menitahkan Pengiran Temenggong Pengiran Ampa mengeluari angkatan Suluk yang diketuai oleh Datu Teting yang hendak melanggar Brunei dan berjaya mengalahkannya. Baginda lindung pada tahun 1795.
 
Sultan Muhammad Tajuddin (TM 1795-1804) (TM 1804-1807)
Baginda naik takhta pada tahun 1795.  Dua kali naik takhta. Sultan Brunei yang pernah menghantar utusan ke China untuk memasarkan barang–barang Brunei di sana. Pernah menghantar utusan untuk berbaik-baik dengan Sepanyol di Manila.  Baginda lindung pada tahun 1807.
 
Sultan Muhammad Jamalul Alam I (TM 1804)
Baginda naik takhta pada 26 April 1804.  Berada di atas takhta selama kira–kira 7 bulan sahaja sebelum Baginda lindung pada 19 November 1804.
 
Sultan Muhammad Kanzul `Alam (TM 1807-1826)
Baginda naik takhta pada tahun 1807.  Pada tahun 1821, mengeluarkan dan menurunkan wang ‘pitis’ ke padian. Tahun 1809, angkatan dari Inggeris yang diketuai oleh ‘Si Merah’ datang ke Brunei membawa kuyuk (anjing) besar dan garang untuk dilawan oleh orang Brunei dan dapat dikalahkan oleh Pengiran Muhammad Daud; kerana kejayaannya ia diarak menjadi ‘Pengiran Pemancha’. Dia juga berjaya menangkap harimau hadiah Sultan Terengganu yang terlepas daripada kandangnya. Pada tahun 1823, utusan Kerajaan Belanda datang ke Brunei. Pada masa zaman Baginda, Pengiran Muhammad Salleh diangkat menjadi Pengiran Indera Mahkota dan dititahkan memerintah Sarawak. Baginda turun takhta pada tahun 1826.
 
Sultan Muhammad Alam (TM 1826-1828)
 Baginda naik takhta pada tahun 1826 iaitu semasa hayat ayahanda Baginda.  
    
Sultan Omar Ali Saifuddin II (TM 1828-1852)
Baginda naik takhta pada tahun 1828. Pada tahun 1839, James Brooke datang ke Sarawak. Tahun 1842, James Brooke dilantik menjadi Rajah Sarawak. Tahun 1845, Baginda menyerahkan Pulau Labuan kepada Inggeris. Tahun 1846 angkatan yang diketuai oleh James Brooke menyerang Brunei. Tahun 1847, menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Perdagangan dengan Inggeris.  Baginda lindung pada tahun 1852.
 
Sultan Abdul Momin (TM 1852-1885)
Baginda naik takhta pada tahun 1852.  Tidak mempunyai zuriat. Pada tahun 1853, membuat perjanjian dengan James Brooke mengenai hak-hak kekuasaan kedua–dua belah pihak. Pada tahun 1856, membuat perjanjian dengan Inggeris mengenai perbicaraan rakyat Inggeris yang melakukan kesalahan jenayah dan pertelingkahan di Brunei. Pada tahun 1858, Pengiran Shahbandar Pengiran Muhammad Salleh terbunuh setelah dilemaskan oleh pengkhianat yang memusuhinya. Pada tahun 1877, membuat perjanjian dengan Gustavus Baron de Overback dan Alfred Dent mengenai pemajakan ke atas wilayah–wilayah Brunei di Sabah.  Baginda lindung pada tahun 1885 ketika berusia lebih 100 tahun.
 
Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin (TM 1885-1906)
Baginda naik takhta pada tahun 1885.  Pada tahun 1887, membuat permohonan bertulis kepada Kerajaan Baginda Queen untuk mengadakan Residen British di Limbang tetapi tidak dipersetujui oleh pihak Kerajaan Baginda Queen kerana masalah kewangan. Pada tahun 1888, membuat perjanjian dengan Inggeris dengan meletakkan pengawalan hubungan luar negeri Brunei di bawah pentadbiran Inggeris.  Baginda lindung pada tahun 1906
 
Sultan Muhammad Jamalul Alam II (TM 1906-1924)
Baginda naik takhta pada tahun 1906, ketika berusia 17 tahun. Pada tahun 1906, penubuhan Pasukan Polis Brunei; Brunei mempunyai Bendera Kebangsaannya sendiri. Pada tahun 1911, Sekolah Melayu mula didirikan. Pada tahun 1922, rancangan pembangunan mula giat dijalankan. Pada masa zaman Baginda kerja–kerja cari gali minyak giat diusahakan.  Pada tahun 1922 berpindah dari Istana Kampong Ayer ke Istana Majlis. Baginda lindung pada tahun 1924.
 
Sultan Ahmad Tajuddin (TM 1924-1950)
Baginda naik takhta pada tahun 1924 Dalam usia 11 tahun. Pada tahun 1927, merasmikan pembukaan jalan raya Brunei–Tutong. Pada tahun 1929, merasmikan pembukaan Rumah Sakit Bandar Brunei. Tahun yang sama minyak mula ditemui di Seria. Pada tahun 1932, berangkat melawat England dan Eropah.  Pada tahun 1941, Jepun menduduki Brunei. Pada tahun 1945, Tentera Bersekutu mendarat di Brunei. Manakala pada tahun 1946, Lagu Kebangsaan Brunei mula digubah oleh Awang Besar Sagap dan senikatanya oleh Yura Halim. Pada tahun 1946, mengambil alih kuasa memerintah daripada British Military Administration (BMA). Tahun 1949, menyambut Jubli Perak 25 tahun pemerintahan. Baginda lindung pada tahun 1950.
 
Sultan Omar 'Ali Saifuddien III (TM 1950-1967)
Tahun 1947, diarak menjadi Pengiran Bendahara. Tahun 1950, naik takhta. Tahun 1951, menunaikan Fardhu Haji kali pertama.
Tahun 1951, mencadangkan rancangan perpindahan bagi penduduk Kampong Ayer ke tanah darat; Lagu Kebangsaan Brunei ‘Allah Peliharakan Sultan’ diakui secara rasmi. Tahun 1953, mengemukakan cadangan bagi Perlembagaan Bertulis Negeri Brunei. Tahun 1953, mula menubuhkan Sekolah Inggeris; mula membina Masjid Besar di Bandar Brunei yang siap dalam Tahun 1958, dinamakan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien. Tahun 1953, menerima Bintang Kebesaran daripada Duli Yang Maha Mulia Queen Elizabeth II yang membawa gelaran ‘Sir’. Tahun 1955, membuat Rancangan Kemajuan Negara Lima Tahun pertama. Tahun 1957, Radio Brunei memulakan penyiarannya. Tahun 1959, Syarikat Minyak Shell Brunei Sendirian Berhad memulakan pengorekkan minyak di luar pantai; menandatangani dan memasyhurkan Perlembagaan Bertulis Negeri Brunei di Lapau, Bandar Brunei. Tahun 1961, menubuhkan Pasukan Askar Melayu Brunei yang kemudiannya dikenali sebagai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; cadangan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia). Tahun 1962, menunaikan Fardhu Haji kali kedua; pemberontakan meletus di Brunei. Tahun 1963, memutuskan Brunei untuk tidak bergabung dalam Malaysia. Tahun 1967, Brunei mengeluarkan mata wang sendiri. Lebih 33 kali berangkat ke luar negeri antara Tahun 1951 – 1967, Tahun 1967, menurunkan diri dari takhta kerajaan, bergelar Paduka Seri Begawan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien. Baginda lindung pada tahun 1986.
 
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah (1967-Sekarang)
1946 15 Julai, diputerakan di Istana Darussalam, Bandar Brunei (Bandar Seri Begawan).
1955 Menuntut di Sekolah Melayu Sultan Muhammad Jamalul Alam, Bandar Brunei.
1959 Menuntut di Sekolah Jalan Gurney, Kuala Lumpur sehingga tahun 1961.
1961 Melanjutkan pelajaran di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Menyertai Pasukan Kadet Victoria Institution sehingga tahun 1963.
  14 Ogos, dimasyhurkan menjadi 'Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Mahkota'.
1964 Meneruskan pelajaran di Maktab Sultan Omar 'Ali Saifuddien (SOAS), Bandar Brunei.
1965 29 Julai, melansungkan perkahwinan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Bagidna Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam.
1966 4 Januari, memasuki Akademi Tentera Diraja Sandhust, United Kingdom sebagai Pegawai Kadet. Ditauliahkan pangkat Kapten dalam Pasukan Goldstream Guards.
1967 5 Oktober, ditabalkan menjadi Sultan Brunei Ke-29.
1968 1 Ogos, dipuspakan dalam satu adat istiadat yang gilang- gemilang di Lapau, Bandar Brunei.
1971 23 Novemeber, menandatangani Pindaan Perjanjian 1959 dengan United Kingdom.
1979 7 Januari, menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama dengan United Kingdom.
1981 28 Oktober, melangsungkan perkahwinan dengan Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Isteri Hajjah Mariam binti Haji Abdul Aziz.
1984 1 Januari, mengisytiharkan Permasyhuran Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam, NBD.
  16 Januari, berangkat ke Casablanca, Maghribi menghadiri Sidang Kemuncak Persidangan Negara- Negara Islam (OIC).
  21 September, berangkat ke New York menghadiri Majlis Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-39.
1986 20 Oktober, mengisytiharkan penyusunan semula Menteri-Menteri Kabinet.
1987 18 Januari, berangkat ke Tanah Suci Makkah Al- Mukarramah untuk menunaikan Farhdu Haji bagi kali pertama.
1988 30 November, mengisytiharkan rombakan dan penyusunan Menteri-Menteri Kabinet, berhasrat untuk memperkemaskan dan melicinkan pentadbiran Kerajaan.
1989 21 September, menerima anugerah 'Ijazah Kehormat Doktor Persuratan' daripada Universiti Brunei Darussalam (UBD).
1992 15 Februari, menerima anugerah 'Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang' daripada Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.
  5 Oktober, menyambut Jubli Perak, genap 25 tahun di atas takhta Kerajaan.
  5 November, menerima anugerah 'Degree of Doctor of Civil Law by Diploma' daripada Universiti Oxford, United Kingdom.
2000 30 Jun, menerima anugerah 'Award of the President's Gold Medal' dari City's Royal College of Surgeons, Scotland, United Kingdom.
  10-16 November, mempengerusikan Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2000 Brunei Darussalam.
2001 11 Julai, menerima anugerah 'Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang' dari Universiti Queensland, Australia.
  2 Oktober, menerima aungerah 'Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Sains Politik' daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Selangor, Malaysia.
  20 Oktober, menerima anugerah 'Honorary Doctorate Degree in International Relations' daripada the Beijing Foreign Studies University, Republik Rakyat China.
2004 Majlis Mesyuarat Negeri diwujudkan kembali dengan nama Majlis Mesyuarat Negara
2005 Merasmikan Persidangan Kebangsaan mengenai Masyarakat Bermaklumat (NASIS)
  Mengisytiharkan rombakan Ahli Majlis Menteri-Menteri Kabinet; memperkenankan jawatan Menteri iaitu Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Kewangan II dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II
  Merasmikan Konvensyen Pendidikan dan Profesionalisme, Majlis Ilmu 2005
2006 Merasmikan Penukaran Kepala Panji–Panji Pasukan Polis Diraja Brunei
   merasmikan Majlis Mesyuarat Negara
2007 Pengistyiharaan penubuhan Universiti Islam Sultan Sharif Ali
2008 Merasmikan  Sesi Ke-4 Majlis Mesyuarat Negara di bangunan Baru Dewan Majlis
Read more ...

Cerita Dongeng Rakyat - Lagenda Mashuri

Lagenda Mahsuri dikatakan berasaskan kejadian yang benar-benar berlaku dan ia sering dipentaskan dalam teater bangsawan. Kejadian ini dikatakan berlaku semasa pemerintahan Sultan Ahmat Tajuddin Almukarram Shah di Kedah. Pada ketika itu Datuk Seri Kemajaya bertanggung jawab memerintah pulau Langkawi sebagai wakil sultan. Terdapat beberapa versi Lagenda Mahsuri yang diceritakan dan menurut versi Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Lagenda Mahsuri adalah seperti berikut :-

Pada suatu hari ketika wakil sultan Kedah, Datuk Seri Kemajaya sedang berbincang mengenai hal ehwal pengurusan pulau Langkawi dibalai penghadapan. Diantara mereka yang hadir termasuklah Mahsuri anak kepada Datur Amar yang berada di balai adat bersama-sama gadis istana yang lain. Pada masa yang sama, tiga orang perwira yang baru kembali daripada pertempuran dengan pasukan Portugis di selat Melaka masuk mengadap.

Ketiga-tiga mereka adalah Kelana, Deramang anak kepada Datuk Kemajaya, and Lela. Ketiga-tiga mereka terpikat dengan keayuan wajah Mahsuri dan berusaha untuk memikat Mahsuri dengan menceritakan kejayaan yang dicapai oleh mereka, disamping menunjukkan harta rampasan yang di dapati mereka dalam pertempuran tersebut. Tidak seorangpun di antara mereka pernah melihat Mahsuri sebelum ini.

Datuk Seri Kemajaya berasa berbesar hati dengan kejayaan mereka dan memandangkan telah banyak khidmat mereka pada masa lalu menawarkan isteri kepada mereka agar mereka dapat berumahtangga. Kesemua mereka bertiga menolak dengan menyatakan mereka belum bersedia untuk mendirikan rumahtangga disebabkan mereka bertiga telah jatuh hati dengan Mahsuri.

Pada satu hari ketika Mahsuri berada di serambai sambil menyayi lagu bunga tanjung, Deramang kemudian Kelana, dan diikuti Lela yang lalu dibawah serambai cuba menarik perhatian Mahsuri. Deramang kemudiannya mengambil peluang untuk mengadu domba antara Kelana dengan Lela sehingga kedua sahabat karib itu berkelahi. Deramang kemudiannya berlalu apabila menyedari kedatangan Datuk Aman. Datuk Aman mendamaikan kedua sahabat yang sedang bergaduh dan mendapati bahawa punca pergaduhan antara mereka adalah untuk memenangi hati Mahsuri.

Datuk Aman kemudian menyuruh Mahsuri memilih siapa yang dia minati antara Kelana dengan Lela. Mahsuri yang menghormati mereka berdua menyatakan dia akan menjatuhkan bunga daripada serambai dan sesiapa yang mendapat bunga tersebut akan mendapat hatinya. Mahsuri kemudiannya menjatuhkan bunga kepada Kelana yang berjaya menyambut bunga tersebut. Datuk Aman berjanji akan memilih hari yang sesuai untuk perkhawinan antara Mahsuri dengan Kelana. Kelana dan Lela kemudiannya berbaik kembali.

Selepas perkahwinan antara Kelana dan Mahsuri, Datuk Seri Kemajaya menerima perintah sultan Kedan untuk membawa angkatan tentera untuk melawan pasukan Siam yang telah menyerang Kedah dan membebaskan kota yang telah ditawan musuh. Isteri Datuk Seri Kemajaya, Mahsura, memujuk Datuk Seri Kemajaya agar memilih anaknya Deramang sebagai penggantinya ketika pemergiannya. Lela bertanggung jawab untuk mempertahankan kawasan pantai sementara Kelana pula mengiring Datuk Seri Kemajaya dengan pasukannya kemedan perjuangan. Kelana dan Mahsuri terpaksa berpisah walaupun baru berkahwin. Kelana meminta Lela, yang menganggap Mahsuri seperti kakak, agar menjaga Mahsuri.

Sebaik sahaja Datuk Seri Kemajaya dan Kelana meninggalkan pulau, Deramang, cuba sedaya upaya untuk memikat Mahsuri tetapi gagal. Oleh kerana itu, Deramang mengambil keputusan untuk memerangkap Mahsuri dengan Lela.

Deramang kemudiannya menyuruh Lela pergi kepantai dengan menyatakan terdapat kekecohan di situ. Kemudiannya, Deramang memberitahu Mahsuri bahawa suaminya telah kembali dan sekarang berada di pantai tempat Lela berada. Ketika Lela dan Mahsuri berada di tepi pantai, Deramang kemudiannya telah membawa orang kampung untuk menangkap Mahsuri dengan Lela dan mereka berdua dituduh berzina.

Memandangkan Deramang memegang tampuk pemerintahan ketika ketiadaan Datuk Seri Kemajaya, penghulu dan kaum bangsawan tidak berani membantah atau menghalang Deramang walaupun mereka tahu Mahsuri dan Lela tidak bersalah. Deramang menjatuhkan hukuman bunuh kepada Mahsuri dan Lela. Mahsuri dihukum bunuh secara salang, ditikam dengan keris dikedua belah pangkal leher. Hukuman itu akan dilaksanakan di Padang Mat Sirat.

Pada masa Mahsuri akan dibunuh, ribut dan kilat sambung-menyambung dilangit. Mahsuri kemudiannya menyumpah penduduk Mahsuri bahawa mereka tidak akan aman dan pulau Langkawi akan jadi padang jarak padang terkukur selama tujuh generasi kerana membenarkan ketidakadilan ini berlaku. Apabila Mahsuri ditikam dengan keris oleh Deramang, darah putih memancut keluar sebagai tanda kesucian Mahsuri.

Ketika Deramang hendak menikam Lela, pasukan perwira yang diketuai oleh Datuk Seri Kemajaya sampai menyebabkan Deramang melarikan diri. Apabila sampai ketempat hukuman dilaksanakan, Datuk Seri Kemajaya, Kelana dan mereka yang lain terkejut apabila melihat mayat Mahsuri terkapar disitu. Suasana gembira diatas kejayaan mereka mengalahkan musuh yang menyelubungi rombongan itu kini bertukar menjadi pilu.

Lela kemudiannya menceritakan apa yang telah berlaku sehingga menyebabkan kepada kematian Mahsuri. Kelana kemudiannya terus memburu Deramang untuk membalas dendam. Selepas pergaduhan sengit Kelana berjaya membunuh Deramang dan dengan itu membalas dendam keatas kematian isterinya.

Datuk Seri Kemajaya kesal diatas kematian Mahsuri, dan kerana melantik Deramang sebagai pengganti semasa ketiadaannya di Langkawi menawarkan kepada Kelana gadis lain sebagai pengganti. Kelana menolak tawaran tersebut dan sebaliknya pergi meninggalkan Pulau Langkawi setelah bersumpah tidak akan menjejakkan kakinya lagi kembali.

Selepas kematian Mahsuri, Mahsuri dianggap sebagai keramat dan tidak lama angkatan tentera Siam menyerang menyebabkan pulau Langkawi terbiar, dipercayai akibat sumpahan Mahsuri.

Read more ...

lagenda santubong.

Gunung santubong adalah gunung yang dapat dilihat dari pelbagai arah dari bandaraya Kuching,kawasan matang,Bako bahkan dari Kota Samarahan.Dilihat daripada pelbagai perspektif dapat memeperlihatkan pelbagai bentuk,ada yang dikatakan seperti perempuan mengandung berbaring,ada kelihatan seperti gergasi tersenyum ada seperti bonggol unta dan pelbagai perspektif dari pelbagai pandangan.

Tidak ketinggalan juga tentang Lagenda Puteri Santubong serta Puteri Sejinjang yang telah bergenarasi diperturunkan hingga terdapat sebuah lagu rakyat yang berkaitan dengan Lagenda kedua -dua puteri tersebut.

Puteri Santubong puteri sejenjang
Penjaga gunung negeri Sarawak
Manis sik ada dapat dilawan
Anak dak dewa turun kayangan

( syair )
Ooo... puteri santubong
Menenun kain... siang
Ooo... puteri sejenjang
Menumbuk padi... malam

Satu hari nya duak kelayi
Beranok-anok sik renti-renti
Sorang madah dirik bagus agik
Sorang sik ngalah sampei ke mati

Yalah kisah duak 'rang puteri
Suka kelayi setiap hari
Lalu disumpah raja kayangan
Menjadi gunung Negeri Sarawak

Lirik ini secara ringkas menceritakan tentang kehidupan dua orang puteri yang pada mulanya akrab tetapi kemudian bertengkar dan melibatkan serangan fizikal yang menyebabkan terbentuknya keadaan gunung santubong sekarang serta keadaan sunung sejinjang tang rendah sekarang beserta sebuah Pulau iaitu Pulau Kera yang terbentuk dari serpihan Gunung sejinjang

Namun begitu terdapat pelbagai versi tentang Lagenda ini,dan bila disebutkan Lagenda,kita pun tidak tahu di bahagian mana kita harus mengambil kebenarannya melainkan ia adalah berasaskan sumber sejarah..ada yang mengatakan Kedua dua puteri ini berasal dari kayangan dan ada juga mengatakan Puteri puteri ini berasal dar Kerajaan Brunei..

Dari Sudut sejarah
Puteri Santubong & Puteri Sejinjang adalah merupakan puteri-puteri Sultan Brunei yang telah melarikan diri bersama 7 orang saudara lelaki mereka kerana ayahanda mereka (Sultan Brunei) telah dibunuh oleh satu komplot sekitar abad ke-18.

Memandangkan 9 orang putera & puteri ini dalam pelarian ingin menuju ke Tanah Melayu yang memaksa mereka menyeberangi Laut China Selatan, maka saudara-saudara lelaki mereka telah bersepakat untuk meninggalkan 2 orang saudara perempuan mereka, Puteri Santubong & Puteri Sejinjang di satu kawasan yg kini terletak di Kuching.

Kedua-dua puteri tersebut akhirnya mencari tempat perlindungan di sebuah gunung yang kini dikenali sebagai Gunung Santubong. Dan kerana berlaku perbalahan di antara dua beradik tersebut, maka Puteri Sejinjang telah mencari tempat perlindungan lain di sebuah gunung yg bertentangan dengan Gunung Santubong iaitu Gunung Sejinjang.

Bagi orang-orang Dayak di Sarawak yang selalu ke kawasan dua gunung tersebut mula berasa hairan. Mereka berfikir akan dari mana datangnya kedua-dua gadis tersebut yang mereka tidak pernah temui sebelum itu di kawasan tersebut. Mereka menganggap kedua-dua puteri tersebut telah 'Turun Dari Kayangan' (seperti yang terdapat di dalam lirik lagu Puteri Santubong - "anak dak dewa turun kayangan".

Sementara itu, 7 orang bersaudara (putera-putera Sultan Brunei) itu pula dikatakan meneruskan pelayaran mereka sehingga ke Pulau Pinang. Setelah mendarat dan berjalan untuk mencari tempat tinggal, sesampainya di suatu kawasan di Pulau Pinang, burung bayan yang mereka bawa dari Brunei telah terlepas. Maka dari situlah kawasan di mana burung bayan mereka terlepas mula dikenali sebagai Bayan Lepas.

Kini, keturunan dari 7 orang putera Sultan Brunei itu masih menetap di kawasan tersebut dan sebahagiannya telah berhijrah ke negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia ini. Cuma keturunan mereka ini tidak lagi memakai sebarang gelaran atau panggilan di depan nama mereka seperti Pengiran atau Datu. Mungkin 7 orang Putera tersebut tidak mahu lagi mengunakan gelaran tersebut agar kumpulan komplot yang membunuh ayahanda mereka itu tidak akan dapat menjejaki mereka dan keturunan mereka lagi. Namun, keturunan 7 orang putera tersebut kini masih percaya yang mereka sememangnya adalah dari keturunan Sultan Brunei. Cuma apa yang mereka hairan dan musykilkan ialah mengapakah nenek-moyang mereka terpaksa melarikan diri dari Brunei hingga sejauh ke Pulau Pinang?!.
(dipinjam dari website lain)

Dari Sudut Lagenda
Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang merupakan 2 puteri dari Kayangan. Ayahandanya raja Kayangan telah menurunkan titah agar kedua-dua puteri tersebut turun ke bumi untuk menyelesaikan pertelingkahan dua kampung. Namun sebelum mereka turun ke bumi, ayahandanya berpesan sekiranya terjadi pertelingkahan kedua-dua puteri maka mereka akan terkena sumpahan kayangan dan tinggallah mereka di bumi. Pada asalnya kedua-dua puteri tersebut merupakan sepupu. Ketika turunnya kedua-dua puteri ke bumi. Penduduk kampung kehairanan melihat cahaya terang laksana mentari menyusuri di dua buah kampung. Kejelitaan dan sifat kewanitaan terserlah diraut wajah kedua-dua puteri.

Puteri Santubong menetap di sebuah kampung Pantai Biru dan mengajar menenun kain manakala Puteri Sejinjang di kampung Pasir Kuning mengajar mengasing sekam padi dengan aluk. Dengan kemahiran ini kedua-dua kampung tersebut menjadi aman tanpa pertelingkahan. Selama ini pertelingkahan terjadi kerana sistem pertukaran barang antara kampung tidak setara dengan barangan yang dibawa.

Kemakmuran di kedua-dua kampung tidak berkekalan. Kehadiran Putera Serapi datang berkunjung untuk melihat kehebatan dan kejelitaan kedua-dua puteri. Mengetahui Putera Serapi hendak datang mengadap kedua-dua puteri berhias-hias untuk mengadap Putera Serapi. Kedua-dua Puteri berasa sangat kagum dan tertawan dengan kekacakan Putera Serapi, yang sasa dan terserlah kewibawaannya, begitu juga Putera Serapi yang sudah terpikat dengan kejelitaan dan keayuan kedua-dua puteri tersebut.

Saban hari selepas pertemuan itu. Puteri Santubong dan Sejinjang bertemu hendak menyatakan hasrat hati masing-masing. Namun hasrat yang dinyatakan adalah sama iaitu, kedua-duanya mencintai Putera Serapi. Sejak itu mereka bermusuhan dan bercemburuan antara satu sama lain. Dengan kesaktian kedua-dua puteri mereka bergaduh berhari-hari tanpa henti. Sejinjang mengatakan bahawa dia lebih cantik, manakala Santubong menyatakan dia lebih jelita. Dengan marahnya Sejinjang lalu mencapai aluk, lalu di hayun di pipi Puteri Santubong yang kini kita dapat lihat lengkuk di gunung. Hanya kekuatan terakhir Santubong lalu menikam belida di kepala Sejinjang. Akhirnya kedua-dua puteri tersungkur kesakitan. Kemudian kilat sambung menyambung serta guruh berdentuman, lalu cahaya terang dari langit mengangkat kedua-dua puteri. Sumpahan kayangan terus menjadikan Puteri Santubong menjadi gunung manakala Sejinjang menjadi Pulau Kera yang berteraburan. Putera Serapi pulang kesedihan terus menghilangkan diri di sebuah gunung yang kini dikenali sebagai Gunung Serapi..


 
Read more ...